Malaysia tidak pernah tewas kepada Timor Leste dalam semua peringkat pertandingan bola sepak sebelum ini. Mohon anda betulkan kenyataan ini jika kami tersilap.
Ia bukanlah rekod yang mahu kita jadikan kemegahan. Tetapi tidak ada mereka yang waras mahu rekod itu diubah.
Namun kini rekod itu kini sudah dipadam apabila skuad B-23 tahun negara kendalian Brad Maloney tewas 1-2 kepada pasukan B-23 Timor Leste dalam satu perlawanan persahabtan yang diadakan secara tertutup di Stadium UiTM pada malam tadi.
Perlawanan Antarabangsa Tier 2 | 29 April 2022
Keputusan Masa Penuh
MALAYSIA B-23 1-2 TIMOR-LESTE B-23
⚽️ Faiz Amer Runnizar 66'
⚽️ Elias Joao Da Costa 51' Jhon Frith Ornai 77’#FAM #HarimauMalaya #Vietnam2021 pic.twitter.com/TtxguYDKHJ— FA Malaysia (@FAM_Malaysia) April 29, 2022
Dalam perlawanan persahabatan menjelang penyertaan kedua-dua pasukan di dalam Sukan SEA yang akan bermula pada Mei hadapan, Timor Leste terlebih dahulu mendahului perlawanan melalui Elias Joao Da Costa pada minit ke-51 perlawanan.
Pasukan negara bagaimana pun berjaya menyamakan kedudukan 10 minit selepas itu melalui Faiz Amer Runniza selang 15 minit kemudian.
Gol kemenangan pasukan pelawat dijaringkan oleh Jhon Frith Ornai pada minit ke-77 perlawanan.
Kekalahan tidak dijangka?
Walaupun sekadar perlawanan antarabangsa Tier 2, dan hanya digunakan oleh Brad Maloney sebagai medan ujian sebelum bertolak ke Hanoi, kekalahan kepada pasukan seperti Timor Leste dianggap sebagai mengejutkan.
Bukanlah tidak menghormati pasukan seperti Timor Leste. Tetapi mana-mana peminat bola sepak tanah air pasti akan tertanya-tanya.
Apa sebenarnya yang berlaku? Adakah barisan pemain yang diturunkan tidak mempunyai kualiti yang mencukupi untuk menewaskan lawan seperti Timor Leste? Atau adakah taktikal yang diterapkan tidak sesuai dengan pasukan?
#OTD Malaysia B-23 menewaskan Timor Leste 11-0 untuk mencipta rekod kejohanan acara bola sepak kategori lelaki Sukan SEA.
🇲🇾 11-0 🇹🇱
Norshahrul 3' 30'
Baddrol 12'
Zaquan 16'
Safiq 28'
Fakri 40' 70' 76'
Aidil 57'
Amirulhadi 80'
Amar 90+2'#HariIniDalamSejarah #HarimauMalayaB23 pic.twitter.com/j7FZ81Aebc— HarimauMYstats (@HarimauMYstats) December 2, 2020
Satu perkara yang pasti keputusan serupa di dalam mana-mana pertandingan kompetitif akan dianggap musibah – dan kita pasti tidak mahu melihat keputusan sebegini dicatatkan di Hanoi nanti.
Untuk rekod, skuad B-23 negara pernah membelasah pasukan B-23 Timor Leste dengan jaringan 11-0 di Sukan SEA 2009. dan ia merupakan rekod kemenangan terbesar bagi acara bola sepak di temasya dwi tahunan itu yang kekal sehingga ke hari ini.
Sukar membayangkan betapa jauh peningkatan Timor Leste berbanding apa yang pasukan negara mampu lakukan sejak lebih 10 tahun yang lalu. Lebih sukar jika rekod yang memalukan maruah bola sepak negara mulai dipecahkan satu-persatu.