Peledak berbisa skuad kebangsaan Belgium dan Inter Milan, Romelu Lukaku memuji dua pengurus yang memainkan peranan penting dalam meningkatkan perkembangannya sehingga menjadi antara penyerang disegani pada ketika ini.
Pengurus dimaksudkan ialah Roberto Martinez yang pernah membimbing Lukaku ketika bersama Everton dan juga kini bekerjsama ketika tugasan antarabangsa bersama skuad ranking nombor satu dunia itu dan juga pengurusnya ketika bersama Manchester United, Jose Mourinho.
Tidak mendapat tempat ketika bersama Chelsea, Lukaku memilih untuk berhijrah ke Everton pada musim 2014/15 selepas dipinjamkan selama semusim ke kelab tersebut dan dari situlah Martinez membentuknya sebagai penyerang berkaliber.
Setelah empat musim yang cemerlang, khidmat Lukaku ditagih pula Mourinho dalam usahanya untuk memantapkan jentera serangan The Red Devils.
”Mourinho telah mengajar saya untuk bekerja dengan lebih baik dengan pasukan, baik dari segi tekanan dan meletakkan diri saya di posisi lebih baik di dalam padang. Cuba anda lihat terhadap apa yang dilakukannya kepada Harry Kane pada ketika ini.”
”Dahulu saya suka gaya bola sepak vertikal. Saya mendapati diri saya paling berbahaya ketika saya menghadap pintu gol. Saya pantas, saya boleh melepasi kawalan pertahanan lawan dengan menggelecek bola atau menukar arah ke kiri atau kanan.”
”Itulah cara permainan saya dahulu, mungkin kerana saya bermain dengan pasukan yang menggunakan serangan balas pantas. Tetapi skuad kebangsaan mewajibkan saya untuk mengubah corak permainan.”
”Dengan Belgium, kami pantas menjadi pasukan yang mementingkan penguasaan bola dan mendapat ruang yang sedikit [untuk bermain]. Roberto Martinez melakukan semua yang dia boleh lakukan untuk membuatkan kami mereasa lebih selesa dengan saya membelakangi pintu gol, baik ketika bersama skuad kebangsaan atau pun Everton.”
”Pada usia 20 tahun, masih banyak benda yang saya perlu pelajari. Tetapi saya segera sedar bahawa jika saya berlatih aspek corak permainan saya, saya boleh melakukan apa sahaja yang saya mahukan dalam satu-satu perlawanan,” ujar Lukaku menurut laporan Goal.
Lukaku merupakan penjaring terbanyak sepanjang zaman buat Belgium dengan 57 jaringan daripada 89 penampilan manakala beliau ketika ini merupakan penjaring kedua terbanyak saingan Serie A 2020/21 dengan 11 gol, kekurangan satu jaringan berbanding tonggak Juventus, Cristiano Ronaldo.
Kredit featured image: Giuseppe Cottini/NurPhoto via Getty Images
Baca artikel lain dari kami mengenai Romelu Lukaku:
Romelu Lukaku Jadikan Herdikan ‘Sampah’ Untuk Bangkit Di Inter