Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) menerima tamparan hebat apabila 2 naib presidennya termasuk bendahari menghantar surat perletakan jawatan ketika persatuan tersebut berada dalam masalah.
Presidennya, Bibi Ramjani Ilias Khan berkata kepada Utusan Malaysia, tindakan tersebut tidak wajar dilakukan memandangkan badan induk itu sedang berdepan dengan pelbagai masalah ketika ini.
“Sebagaimana kita bertanding (pemilihan Kafa lalu), betapa susah kita bersungguh-sungguh untuk mendapatkan jawatan tersebut.
“Namun apabila berada dalam keadaan kesusahan, kita tidak sewajarnya meletakkan jawatan dan itulah nasihat yang boleh saya berikan untuk diri sendiri serta orang lain,” katanya.
Baru-baru ini media tempatan melaporkan KAFA berhadapan dengan krisis dalaman yang serius apabila dua naib presiden dan bendaharinya, Datuk Ahmad Razali Ibrahim meletakkan jawatan kerana tidak berpuas hati dengan cara pengurusan pengurusan persatuan tersebut.
Dua Naib Presiden tersebut ialah Datuk Mohd. Aizuddin Mohd Ghazali dan Datuk Nik Izani Nik Ibrahim. Mohd. Aizudin menghantar surat peletakan jawatan pada Khamis lalu manakala Nik Izani mengambil langkah yang sama kelmarin. Ahmad Razali meletakkan jawatan lebih awal iaitu pada pertengahan Jun lalu.
Dalam masa sama, beberapa exco KAFA juga dikatakan akan mengambil langkah yang sama dalam masa terdekat kerana tidak mampu lagi berkerjasama dengan Bibi Ramjani sehingga menyebabkan Kelantan tersingkir ke Liga Perdana musim depan.
Jika lapan daripada 15 ahli jawatankuasa eksekutif KAFA meletakkan jawatan, secara automatik kongres persatuan itu akan diadakan bagi memilih pucuk pimpinan baru.