Dua Kesilapan Individu Berikan Bahrain Kemenangan Ke Atas Malaysia

Liridon Krasniqi Malaysia Bahrain 2021

Selepas 18 bulan tidak beraksi, Malaysia tumpas 0-2 kepada Bahrain dalam aksi persahabatan antarabangsa yang berlangsung di Stadium Nasional, sebentar tadi.

Mahdi Abduljabbar dan Jassim Marhoon muncul sebagai penjaring gol buat Bahrain yang menyaksikan Malaysia tewas selepas kali terakhir tewas pada Oktober 2019, tumbang kepada Vietnam dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Malaysia menyenaraikan Irfan Zakaria sebagai pengganti Shahrul Saad yang tidak bersama skuad kali ini disamping Liridon Krasniqi mengambil alih posisi yang dimainkan oleh Brendan Gan dalam dua aksi terakhir kelayakan sebelum ini.

Untuk Bahrain, mereka hanya mengekalkan empat pemain yang berjaya mengikat Ukraine 1-1 dalam aksi persahabatan pada Isnin lalu. Dengan formasi 4-2-3-1, skuad kendalian Helio Sousa itu dilihat sedikit bergelut sepanjang babak pertama.

Selain Liridon Krasniqi yang meraih kaps pertamanya, dua pemain muda, Luqman Hakim Shamsudin dan Arif Aiman Hanapi turut berjaya mendapat kaps pertama dalam perlawanan ini apabila mereka telah dimasukkan di penghujung babak kedua.

Menggunakan formasi kegemaran Tan Cheng Hoe iaitu 4-3-2-1, Syafiq Ahmad diletak sebagai penggempur utama sambil dibantu oleh Safawi Rasid dan Mohamadou Sumareh yang bergerak sebagai inside forward di sebelah kiri dan kanan.

Walaupun Harimau Malaya tampil dengan permainan agak positif dengan hantaran-hantaran dekat yang berjaya memerangkap lawan, namun, kesilapan Irfan Zakaria pada minit ke-40 telah menyebabkan Malaysia ketinggalan di babak pertama.

Berpunca daripada lontaran daripada luar, Irfan Zakaria telah dipersalahkan pengadil perlawanan kerana menghalang pergerakan Mahdi Abduljabbar di dalam kotak penalti dan sepakan penalti yang diperolehi itu telah disempurnakan sendiri oleh pemain itu.

Dalam 15 minit pertama, dapat dilihat Malaysia yang mengawal tempo permainan dengan gerakan lebih berbahaya ke defensive third lawan, namun semua gerakan yang dijana telah disia-siakan di depan gawang yang dikawal Ebrahim Lutfala.

Percubaan terbaik hadir menerusi Matt Davies yang telah lolos daripada kawalan pertahanan Bahrain seterusnya memasuki kotak penalti lawan, namun rembatan lemahnya mudah untuk ditangkap oleh Ebrahim Lutfala di minit ke-9 perlawanan.

Namun, dengan penampilan pertama Liridon Krasniqi, beliau tampak pada awalnya agak berhati-hati dan gagal memberikan impak seperti yang dimahukan.

Bahrain dilihat hanya mula mengasak gawang skuad negara selepas perlawanan berlangsung 20 minit dan percubaan pertama mereka itu hampir memberikan gol pembukaan. Namun, tindakan Farizal Marlias berjaya menyelamatkan keadaan.

Mereka berjaya menutup ruang dengan pantas terutamanya di bahagian sayap di mana Malaysia diketahui kerap menggunakannya untuk membuat hantaran lintang ke dalam kotak penalti sehingga menyebabkan Malaysia buntu untuk mengasak.

Mahdi Abduljabbar yang diturunkan sebagai penyerang utama dilihat beberapa kali berjaya mengucar-kacirkan kubu skuad negara antaranya di minit ke-25 dan ke-29.

Babak kedua, Bahrain turun dengan lebih keyakinan untuk memburu gol kedua dan memenangi perlawanan. Malaysia sudah mula mengendurkan asakan dengan lawan berjaya mengambil alih tempo perlawanan daripada skuad Harimau Malaya.

Tiada banyak asakan berjaya dihasilkan oleh kedua-dua pasukan di babak kedua dengan Malaysia dan Bahrain lebih berhati-hati mengatur asakan ke kubu lawan.

Jassim Marhoon memanfaatkan kesilapan hantaran ke belakang oleh Liridon Krasniqi yang gagal dikawal dengan baik oleh Farizal Marlias. Beliau berjaya merampas bola tersebut seterusnya meledak jaringan kedua buat Bahrain di minit ke-60.

Minit ke-65, Malaysia hampir merapatkan kedudukan menerusi sepakan percuma oleh Aidil Zafuan di depan gawang, namun gagal dimanfaatkan oleh Junior Eldstal, Brendan Gan dan Norshahrul Idlan Talaha sebelum disambar oleh penjaga gol, Ebrahim Lutfala.

Pada penghujung perlawanan, secara tiba-tiba Safawi Rasid telah dilayangkan kad merah ketika berada di luar padang kerana dilihat membantah keputusan pengadil, namun difahamkan beliau tidak akan digantung untuk aksi kelayakan berdepan UAE.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN