Pemilik jersi nombor 29 Perak, Shahrel Fikri Md Fauzi lewat petang tadi telah memuat naik status di Instastory mengenai tawaran untuk kembali ke saingan Liga Thailand (Thai League) daripada seseorang yang dipercayai sebagai ejen pemain.
Menerusi status Instastory tersebut, pemain berusia 25 tahun itu dilihat telah menitipkan persoalan, “Ada yang nak ikut ke?”.
Lelaki yang dipercayai sebagai ejen tersebut dilihat telah mengajak Shahrel Fikri untuk sesi perjumpaan bagi berbincang mengenai kemungkinan untuk membawanya kembali ke bumi Gajah Perang.
Untuk kepastian, pemain yang mesra disapa Eky itu turut dilihat bertanyakan mengenai kelab yang berminat dan ejen tersebut telah menyebut dua buah kelab yang sedang beraksi di Thai League 1 iaitu PT Prachuap FC dan PTT Rayong FC.
PT Prachuap FC ketika ini berada di kedudukan ke-7 liga dengan 13 mata sementara PTT Rayong FC pula berada di kelompok bawahan liga, di kedudukan ke-13 dengan 9 mata.
Semakan mendapati kedua-dua kelab masih memiliki slot untuk pemain import ASEAN dan dengan Thai League 1 membenarkan setiap pasukan memiliki 3 import dari ASEAN, mungkin ada kebenarannya yang nama Shahrel Fikri kembali menjadi sebutan.
Untuk musim 2019, Thai League telah membenarkan setiap kelab untuk mendaftarkan 7 pemain import mengikut komposisi berikut:
- 3 pemain import antarabangsa
- 1 pemain import dari AFC
- 3 pemain import dari ASEAN
Adakah Shahrel Fikri bakal kembali ke Thai League? Untuk rekod, Eky pernah beraksi secara pinjaman bersama Nakhon Ratchasima FC musim lalu dengan 10 penampilan dan 1 gol dihasilkannya.