Pasukan tangga kedua Liga Perdana Inggeris, Tottenham Hotspur dirundung malang selepas tewas mengejut 1-3 ditangan Wolverhampton Wanderers di Wembley Stadium, awal pagi tadi.
Kekalahan yang jelas mengecewakan, malahan ia melebarkan kelebihan sembilan mata buat pendahulu liga, Liverpool pada ketika ini.
Menguasai permainan tidak langsung memberikan sebarang kelebihan buat skuad bimbingan Mauricio Pochettino pada perlawanan ini apabila pelawat dilihat lebih banyak melakukan serangan ke kubu Spurs.
Tottenham bagaimanapun terlebih dahulu menemui sentuhan jaringan apabila Harry Kane meledakkan rembatan padu dari luar kawasan penalti pada minit ke-22 yang berjaya menewaskan Rui Patricio.
Kelebihan satu jaringan dimiliki Tottenham kekal hingga minit ke-72 sebelum pemain pertahanan Wolves, Willy Boly menanduk masuk bola hasil sepak sudut yang diambil Joao Moutinho walaupun Hugo Lloris berusaha keras menepis tandukan tersebut.
Ketika pengendali Wolves, Nuno Espirito Santo lega dengan jaringan penyamaan itu, Raul Jimenez menambahkan lagi kegembiraan buat beliau menerusi jaringan kedua pada minit ke-83.
Percubaan Jimenez hasil sepakan ‘placing’ yang kelihatan seolah-olah tidak begitu berbahaya itu tidak mampu dihalang Lloris untuk sekadar melihat bola bergolek ke dalam gawangnya.
Berselang empat minit kemudian, pemain gantian, Helder Costa mengesahkan kemenangan 3-1 buat Wolves selepas pemain yang menggantikan Adama Traore itu menyudahkan peluang hasil lorongan daripada Matt Doherty.
Kedudukan tangga kedua Tottenham Hotspur kini terancam apabila Manchester City berpeluang untuk memintas mereka sekiranya menang keatas Southampton pada malam ini.
Sementara itu, Wolves yang baru dinaikkan pangkat ke Liga Perdana Inggeris musim ini sedang menikmati detik indah selepas menduduki tangga ketujuh dengan mengumpul 29 mata hasil lapan kemenangan, lima keputusan seri dan tujuh kekalahan.