Pemain muda, Daniel Ceballos muncul sebagai wira buat Real Madrid apabila berjaya menjaringkan dua gol bagi menewaskan Deportivo Alaves 2-1 dalam perlawanan La Liga yang berlangsung di Estadio Mendizorroza.
Real Madrid yang ketinggalan tujuh mata dibelakang pendahulu liga, Barcelona merehatkan Gareth Bale dan Luka Modric menjelang perlawanan Liga Juara-Juara Eropah bertemu Borussia Dortmund nanti.
Skuad bimbingan Zinedine Zidane itu kini sedang berdepan masalah apabila masih gagal mencatatkan sebarang kemenangan di Santiago Bernabeu dalam saingan liga apabila hanya mampu seri keatas Valencia dan Levante manakala tewas ditangan Real Betis 3 hari lalu dihadapan penyokong sendiri.
Lain pula situasinya ketika bertandang ke gelanggang lawan apabila Madrid berjaya menang kesemua 3 perlawanan ketika ini.
Pemain bintang, Cristiano Ronaldo yang sudah membuat penampilan kedua bersama Madrid dalam saingan liga selepas kembali dari penggantungan juga masih buntu untuk membuka tirai jaringan buat dirinya.
Real Madrid tidak menunggu lama bagi mendapatkan jaringan pertama setelah hantaran lintang dari sebelah kiri yang dilakukan Marco Asensio berjaya disudahkan dengan kemas Daniel Ceballos untuk meletakkan pelawat dihadapan pada minit ke-10.
Ketiadaan Marcelo yang masih mengalami kecederaan juga dirasai apabila Munir El Haddadi berjaya melepasi kawalan Nacho Fernandez yang mengambil alih tugas Marcelo seterusnya melakukan hantaran lintang menarik yang pantas disambar ketua pasukan, Manu Garcia untuk melakukan tandukan cantik bagi menewaskan Keylor Navas 5 minit sebelum babak pertama tamat.
Jaringan tersebut juga merupakan gol pertama yang berjaya dijaringkan oleh pasukan tuan rumah selepas melalui 6 perlawanan La Liga.
Tersentak dengan jaringan tersebut, Real Madrid tidak menunggu lama untuk kembali mendahului hanya selepas tiga minit jaringan yang dihasilkan Manu Garcia itu terhasil.
Berpunca daripada hantaran terus Dani Carvajal ke pintu gol Alaves yang cuba dikeluarkan dari kawasan bahaya oleh penjaga gol, Fernando Pacheco, namun Daniel Ceballos lebih pantas untuk mendapatkan bola dan seterusnya melakukan rembatan yang sekali lagi menerjah gawang tuan rumah.
Usaha yang dilakukan pada babak kedua terutamanya oleh Real Madrid gagal untuk menambah jaringan bagi perlawanan tamat dengan keputusan 2-1 memihak Real Madrid untuk mencatatkan kemenangan ketiga musim ini dan juga merupakan kemenangan ketiga mereka di tempat lawan.