Malaysia meraih kemenangan ketiga dan kedua berturut-turut dalam aksi Kumpulan G, kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 selepas menundukkan Indonesia dengan keputusan 2-0 dalam perlawanan kelima di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).
Beraksi di halaman sendiri, Safawi Rasid berjaya meledak dua gol dan melengkapkan 10 jaringan peribadinya buat skuad negara dan menghadiahkan kekalahan kelima berturut-turut buat Indonesia.
Malaysia mengimpikan satu kemenangan besar bagi menambah kelebihan perbezaan jaringan yang ketika ini kurang memihak kepada Harimau Malaya sekiranya mata terikat di penghujung pusingan kedua ini nanti. Thailand, Vietnam dan UAE memiliki kelebihan jaringan yang besar meninggalkan skuad negara.
Tan Cheng Hoe dilihat mengubah posisi Mohamadou Sumareh untuk mengambil alih peranan yang ditinggalkan Syafiq Ahmad yang digantung perlawanan. Gandingan Johor Darul Ta’zim (JDT), Safawi Rasid dan Akhyar Rashid bermula di sayap kanan dan kiri. Posisi lain, tiada perubahan seperti aksi menentang Thailand.
Yeyen Tumena memang tidak asing bagi bola sepak Indonesia dan pernah menjadi pembantu jurulatih skuad Garuda pada tahun 2013 sebelum dilantik sebagai Pengarah Teknikal untuk Bhayangkara FC pada 2017. Ini perlawanan pertamanya selaku pengendali, waima hanya sebagai pengendali sementara – selepas Simon McMenemy dipecat oleh Persatuan Bolasepak Seluruh Indonesia (PSSI).
Sebagai jurulatih tempatan, Yeyen Tumena pastinya lebih dekat dengan senario bola sepak Indonesia dan juga mengenali pemain-pemain lebih baik. Sedikit mengejutkan, beberapa nama besar telah digugurkannya dan memberi peluang kepada nama-nama baharu untuk beraksi dalam kesebelasan utama pasukan.
Malaysia tampak kurang selesa di awal babak pertama dan cuba menyerap tekanan beraksi di depan 80 ribu penyokong sendiri di SNBJ, sementara Indonesia pula tampil lebih baik dengan beberapa siri cubaan mengasak ke kubu negara menerusi Greg Nwokolo.
Dua percubaan awal terhasil menerusi rembatan tersasar dari luar kotak penalti oleh Febri Hariyadi serta Teuku Ichsan pada minit ke-6 dan ke-9 sebelum Malaysia hadir dengan percubaan menerusi sepakan penjuru oleh Safawi Rasid yang hampir memerangkap penjaga gol, Muhammad Ridho di gawang di minit ke-11.
Minit ke-20, bermula dengan kesilapan Akhyar Rashid, Garuda mengasak menerusi serangan balas pantas oleh Greg Nwokolo, yang kemudian melepaskan bola kepada Febri Hariyadi namun rembatannya ditepis oleh Khairulazhan Khalid – menyebabkannya tercedera di kaki dan terpaksa digantikan oleh Farizal Marlias.
Indonesia menumpukan asakan menerusi serangan balas pantas yang akan dijana oleh Febri Hariyadi di sayap kanan. Skuad Yeyen Tumena dilihat tampil lebih baik dari segi permainan berpasukan berbanding dengan skuad yang beraksi di Gelora Bung Karno.
Akhirnya, Safawi Rasid berjaya memecah kebuntuan perlawanan dengan jaringan ke-9 peribadinya untuk skuad negara menerusi sepakan percuma deras dari luar kotak penalti untuk mengegar jaring gol pelawat, selepas setengah jam aksi berlangsung.
Sepakan percuma kaki kiri Pemain Paling Bernilai di ABK 2019 dari luar kotak penalti itu berjaya memberikan kelegaan buat Harimau Malaya yang bermula sedikit goyah apabila berhasil menewaskan penjaga gol, Muhammad Ridho untuk gol pertama tuan rumah.
Indonesia berpeluang untuk menyamakan kedudukan menerusi tandukkan Otavio Dutra, tujuh minit kemudian yang ditepis oleh Farizal Marlias sebelum percubaan susulan oleh Greg Nwokolo dinafikan pula Aidil Zafuan di depan gawang skuad negara.
Malaysia kehilangan sentuhan jeneral di padang apabila jentera tengah ditutup sepenuhnya oleh Indonesia. Setiap kali Brendan Gan, Syamer Kutty Abba dan Nor Azam Azih mendapat atau membawa bola, ruang mereka akan ditutup sepenuhnya.
Kemasukkan Norshahrul Idlan Talaha menggantikan Akhyar Rasid di permulaan babak kedua juga tidak mengubah banyak situasi skuad negara. Jentera serangan dilihat tiada kesefahaman apabila beberapa gerakan gagal disudahkan dengan percubaan.
Begitupun, Malaysia hadir dengan dua percubaan menerusi Syahmi Safari dan Syamer Kutty Abba pada minit ke-53 dan ke-64 namun kedua-duanya gagal menguji Muhammad Ridho, sebelum Brendan Gan melepaskan tembakan deras dari luar kotak penalti yang cemerlang dinafikan oleh penjaga gol berusia 28 tahun itu.
Garuda juga hadir ke kubu Harimau Malaya dua kali, menerusi rembatan lemah pemain gantian, Osas Saha dan Bayu Pradana pada minit ke-65 dan ke-68, namun tidak menguji Farizal Marlias.
Di saat Indonesia kelihatan lalai, Safawi Rasid sekali lagi meledak gol kedua selepas kapten, Yanto Basna terlepas kawalan bola berhampiran gol. Penyerang berusia 22 tahun itu melepaskan rembatan deras kaki kiri untuk menggegar gol di minit ke-73.
Pada minit ke-83, Farizal Marlias berjaya menebus kesilapannya menghadiahkan penalti buat Indonesia apabila menyelamatkan rembatan oleh Osas Saha. Malaysia kembali lega dan meneruskan tekanan kepada Indonesia sehingga ke penghujung perlawanan.
Kemenangan ini membolehkan Malaysia mengumpul sembilan mata, memintas kedudukan UAE yang tidak beraksi kali ini dan Thailand yang terikat tanpa jaringan menentang Vietnam serta berada di kedudukan kedua kumpulan. Harimau Malaya juga buat kali pertama tidak bolos selepas lima perlawanan.
Kredit Featured Image: PFAM