Pemain tengah Penang FC, Khairu Azrin Khazali mungkin jarang sekali didendang namanya, namun peranannya dalam pasukan Harimau Kumbang sangat besar.
Menyertai Penang sejak musim lalu, Khairu Azrin telah membantu Penang meraih tiket ke Liga Super selepas menjuarai saingan Liga Premier 2020 di bawah kendalian Manzoor Azwira. Musim 2019, Khairu Azrin beraksi bersama Terengganu FC.
Jadi, bagaimana pemain yang ada nama di Liga Super, sanggup turun bermain di Liga Premier? Sebelum beraksi bersama Terengganu, beliau pernah menyarung jersi FELDA United, PKNS FC dan Melaka United serta telah beraksi lebih 10 tahun di Liga M.
Bersama Penang, beliau menjadi watak penyambung antara pertahanan dan tengah menyerang. Posisinya adalah nombor 6 atau dipanggil pemain tengah bertahan dalam formasi 4-1-4-1 yang diterapkan pengendali baharu Penang, Tomas Trucha.
Dalam 10 aksi liga, beliau telah beraksi dalam semua perlawanan, merekodkan 772 minit permainan. Hanya tiga kali beliau tidak beraksi penuh tetapi masih melewati sejam masa permainan. Ini menunjukkan kepentingannya dalam taktikal Penang.
Ketika menewaskan Perak FC 2-1 pada awal April lalu, Tomas Trucha pernah disoal prestasi Khairu Azrin yang jarang didendang walaupun beraksi baik. Menurutnya, Khairu Azrin mungkin beraksi baik secara individu tetapi tidak sebagai satu pasukan.
Jika dalam aksi sebelum itu Harimau Kumbang dilihat bermain lebih teratur, permulaan babak pertama berdepan The Bos Gaurus tampak sangat kurang meyakinkan.
Ini mengundang rasa kurang senang Tomas Trucha apabila kenyataan beliau tidak gembira dengan kemenangan tersebut. Katanya jentera tengah tidak kompak dan tersusun. Mereka mudah memberi ruang kepada pemain Perak untuk menyerang.
Dan beberapa aksi kemudian, kesannya dapat dilihat. Penang telah mencatatkan dua keputusan seri dalam perlawanan yang mereka boleh menang. Tomas Trucha pantas memanggil pemain-pemain untuk berbincang selepas diikat PJ City pada 18 April.
Natijahnya, permainan Penang berubah 360 darjah dalam aksi menentang Sri Pahang dengan kemenangan selesa 3-0. Ia juga kemenangan terbesar mereka musim ini.
Bukan hanya kemenangan, rentak permainan ketika mereka bersaing di Liga Premier juga kembali di tengah padang. Ia mengembalikan senyuman para penyokong yang sejak dari awal musim mahu melihat permainan sebegini dicatur kembali jurulatih.
Namun, selepas beberapa pemain musim lalu seperti Al-Hafiz Harun dan Amer Azahar terpaksa dikeluarkan, aksi Harimau Kumbang tampak terjejas. Ini menunjukkan betapa pentingnya pemain-pemain itu, jika permainan lama mahu dikembalikan.
73' Gol | Danial Ashraf menggandakan kedudukan Penang FC!@selangorfc 0-2 @fa_penang #LigaSuper2021 pic.twitter.com/w021g6wNOk
— Malaysian Football League (@MFL_MY) March 20, 2021
Ini termasuklah sang jeneral yang membantu mempertahankan benteng selain menjana serangan, Khairu Azrin ataupun mesra dipanggil Acong itu. Tanpa mereka, Penang jelas bergelut dengan hanya bergantung kepada Endrick dos Santos.
Sementara itu, pemain berusia 29 tahun itu ketika bercakap kepada The Star berkata, “Sembilan perlawanan yang lalu, kami bermain dengan baik. Tetapi saya perlu terus bekerja keras kerana musim masih panjang. Saya perlu terus konsisten.”
“Saya ‘jambatan’ antara pertahanan dan serangan, jadi saya tidak boleh membuat sebarang kesilapan. Saya perlu berterima kasih kepada jurulatih kerana memberi tunjuk ajar kepada saya,” tambahnya Khairu Azrin lagi mengenainya.
Dan berdepan Sri Pahang, selepas setengah jam, segalanya berakhir. Khairu Azrin terpaksa diusung keluar kerana mengalami kecederaan yang ‘merehatkannya’.
Adakah Khairu Azrin mengalami kecederaan serius? Adakah Fadhil Idris, yang baru tampil sekali, mampu mengambil alih peranan yang telah dimainkannya itu? Penang bakal berdepan cabaran Terengganu FC dan KL City FC di tempat lawan.
KREDIT FEATURED IMAGE: PENANG FC
Baca lagi artikel lain mengenai Khairu Azrin dan Penang FC:
Lee Chang-hoon Dan Khairu Azrin Tambah ‘Pengalaman’ Untuk Pulau Pinang
Apa Rahsianya Perubahan Permainan Penang FC Ketika Tundukkan Sri Pahang?
Endrick Dos Santos ‘Rehat’ Panjang, Penang FC Masih Ada Danial Ashraf