Ketua jurulatih Terengganu FC, Irfan Bakti Abu Salim mengesahkan penyerang import pasukan itu, Kipre Tchetche telah diberi surat tunjuk sebab berikutan prestasi merundum dalam saingan Liga Super apabila masih gagal menjaringkan sebarang gol selepas 6 perlawanan.
Bercakap dalam Berita Harian, Irfan mengakui prestasi pemain kelahiran Ivory Coast itu pada musim ini tidak seperti tahun lalu dimana beliau muncul sebagai penjaring kedua terbanyak Liga Super dengan 14 gol.
Jurulatih berpengalaman itu turut menyifatkan Kipre Tchetche yang digelar sebagai ‘Drogba Terengganu’ masih mencari rentak untuk membentuk persefahaman dengan Sanjar Shaakmedov dan Syamim Yahya.
“Saya lihat pemain itu (Tchetche) masih lagi bergelut untuk menghasilkan jaringan pertamanya musim ini biar pun sudah diberi peluang yang lebih luas dalam enam perlawanan terdahulu.
“Namun prestasinya tidak begitu membanggakan sebagaimana musim lalu ketika muncul penjaring terbanyak pasukan dengan meledak 24 gol keseluruhan sepanjang Liga Malaysia (Liga M).
“Kini kami tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada pemain itu untuk tugas merobek gawang lawan setiap kali kami beraksi sebaliknya pemain lain juga harus memikul tugas menjaringkan gol bagi mengelak kita terus kemarau jaringan.
“Setakat enam perlawanan terdahulu kita baharu berjaya meledak lapan gol. Dan jika dianalisis jaringan itu sepatutnya mampu menghasilkan lebih lagi jaringan berdasarkan keupayaan dan kelebihan yang ada pada pemain kita,” kata Irfan.
Justeru itu, Irfan menuntut pemain yang berusia 31 tahun itu menamatkan kemarau jaringan selepas tamat tempoh rehat panjang nanti pada 29 Mac ini bertemu pasukan Selangor.
“Saya harap pemain itu kembali bangkit membuktikan kemampuan sebenarnya lebih-lebih lagi pemain itu kini dilihat berusaha keras untuk meningkatkan prestasinya termasuk dengan melakukan tambahan latihan sendiri,” katanya.
TFC kini berada di tangga keenam liga dengan mengutip sembilan mata hasil kemenangan menumpaskan Kuala Lumpur (1-0) dan Melaka United (3-0) selain seri tiga perlawanan iaitu bertemu PKNS FC (1-1), Johor Darul Ta’zim (2-2) dan Perak (1-1).