Quantcast

BERITA

Drogba Dedah Mengapa Andre Villa-Boas Gagal Di Chelsea

Didier Drogba mendedahkan karier Andre Villas-Boas telah ditakdirkan gagal sejak dari mula. Villas-Boas hanya bertahan di Chelsea selama 7 bulan sebelum dipecat pada Mac 2012.

Drogba berpendapat tindakan Villas-Boas yang terlalu percayakan dirinya sendiri dan mengabaikan nasihat daripada pemain senior menyebabkan kariernya di Chelsea gagal.

Drogba mula-mula mengesan masalah Villas-Boas di Chelsea apabila cuba menjual pemain-pemain berpengaruh seperti Frank Lampard, Ashley Cole dan dirinya.

Pendedahan ini dibuat oleh Drogba dalam buku autobiografinya yang terbaru, Commitment.

didier

Di dalam buku tersebut, Drogba memberitahu:

“Itu hak dia sebagai pengurus (untuk menjual pemain-pemain berpengalaman) kerana kelab perlu maju ke hadapan.”

“Tetapi sementara pemain-pemain berpengalaman ini ada di kelab, dia tak boleh membuat revolusinya sendiri.”

“Kami tak pernah bising kepada media mengenai hal ini, tetapi ia bukannya sesuatu yang bagus kepada pasukan jika kami tak gembira.”

Drogba desak Villas-Boas kekalkan kesebelasan utama

Chelsea memulakan musim 2011/2012 dengan baik. Tetapi persembahan mereka mula menurun sekitar September. Mereka tewas 1-3 kepada Manchester United, 3-5 kepada Arsenal dan 1-2 kepada Liverpool.

Selepas kekalahan 1-2 kepada Liverpool, Drogba mendesak Villas-Boas untuk tidak melaksanakan rotation policy kepada pasukan sehinggalah prestasi mereka bertambah baik.

Villas-Boas mengikuti nasihat Drogba pada mulanya sebelum mengabaikannya dengan memberitahu pemainnya, mereka boleh menang Champions League jika mengikut caranya.

“Ia macam bercakap dengan batu,” tulis Drogba dalam bukunya.

Pencapaian lepas tak penting

Tak cukup dengan itu, keputusan Villas-Boas menggantung Nicolas Anelka dan Alex daripada latihan skuad utama pada bulan Disember 2011 membuatkan beliau semakin tidak popular di kalangan pemain.

Akhirnya Villas-Boas dipecat oleh Roman Abramovich selepas kekalahan 0-1 Chelsea kepada West Brom pada Mac 2012.

Sebelum perlawanan itu, Chelsea tewas 1-3 kepada Napoli selepas meninggalkan Lampard, Cole, Essien di bangku simpanan.

Villas-Boas hadir di Chelsea pada umur 33 tahun dengan kejuaraan treble di Portugal dan UEFA Europa League. Bagi Drogba, semua pencapaian itu tidak penting bagi pemain Chelsea ketika itu.

“Kesilapan Andre adalah menyangka kerja mengurus Chelsea adalah mudah, kononnya kami perlu ikut cara dia dan kami akan menang.”

“Dia perlu dengar cadangan daripada pemain senior dan berkomunikasi dengan mereka. Kalau tak, anda akan gagal di Chelsea.”

Baca juga: 7 Krisis DI Chelsea Yang Jose Mourinho Perlu Hadapi Sekarang