Pengurus Chelsea, Maurizio Sarri menyebut terdapat dua pemain dalam pasukannya yang gagal membantu merencanakan strategi yang ditetapkan olehnya.
Menurut pengendali tersebut, dua pemain itu adalah Danny Drinkwater dan Victor Moses.
Seperti yang dilaporkan BBC, penjelasan yang diberikan Sarri itu sejajar dengan tindakannya yang sering mengenepikan dua pemain tersebut dari skuad utama.
Bagi Sarri, beliau merasakan kedua pemain itu gagal untuk bermain dengan corak permainan yang diterapkan oleh beliau bersama pasukannya.
“Saya berpendapat Drinkwater tidak sesuai untuk digandingkan dengan pemain tengah lain.”
“Saya pernah memberitahu situasi ini kepada beliau dua bulan yang lalu.” kata Sarri.
Danny Drinkwater menjadi pembelian terakhir Chelsea di pasaran pemindahan musim panas 2017, apabila pemain berusia 28 tahun itu dibawa dari Leicester City dengan bayaran sebanyak £35 juta.
Musim lalu, pemain antarabangsa England itu berperanan membantu jentera tengah pasukan bergandingan bersama N’Golo Kante dan Cesc Fabregas ketika era Antonio Conte.
Namun ketibaan Sarri sebagai pengurus pasukan dan kehadiran Jorginho dan Mateo Kovacic serta kembalinya Ruben Loftus-Cheek ke Chelsea membuatkan kedudukan Drinkwater sedikit tergugat.
Sementara Victor Moses, Sarri menyifatkan pemain itu hanya memiliki corak permainan yang sesuai dibawah Antonio Conte.
Conte menggunakan sistem 3-4-3 semasa berada di Stamford Bridge, dan menjadikan Moses dan Marcos Alonso sebagai sandaran untuk membantu pergerakan sayap pasukan.
Namun, selepas Sarri mengambil alih, beliau lebih gemar menggunakan sistem 4-2-3-1.
“Moses lebih sesuai untuk bermain sebagai bek sayap berbanding penyerang sayap atau bek kanan.” tambah Sarri.
Walaubagaimanapun, Sarri mengakui kemungkinan perubahan akan berlaku dan lebih banyak peluang untuk kedua-dua pemain akan tiba apabila saingan Liga Perdana Inggeris memasuki penghujung tahun yang sibuk.
“Sudah tentu jika anda melihat Disember, Januari ini.”
“Kita perlu mengubah (pasukan) untuk bersaing di liga kerana akan ada perlawanan setiap tiga hari. ” katanya.
“Jadi, sudah tentu kita perlu mengubahnya juga,” ujar beliau lagi.