Frank Rijkaard mungkin adalah individu yang bertanggungjawab memberikan peluang kepada Lionel Messi di dalam kesebelasan utama Barcelona, selepas pemain produk La Masia itu menyerlah bersama skuad Juvenille.
Tetapi kehebatan pemain yang berasal dari Argentina ini menyerlah ketika era Pep Guardiola- di dalam skuad yang dianggap terhebat pernah disaksikan bola sepak Eropah di antara musim 2008 sehingga 2012.
Selain daripada Lionel Messi yang sehingga kini masih lagi memperagakan magis beliau di atas padang, tahukah anda bahawa Barcelona FC juga turut pernah menghasilkan doktor perubatan terkenal- dan dianggap sebagai ‘Messi’ di dalam dunia perubatan bola sepak?
Dr. Ramon Cugat
Jika anda sudah menyaksikan dokumentari Manchester City berjudul ‘All or Nothing’- yang mengisahkan kejayaan kelab Manchester itu menjulang kejuaraan dengan rekod mata tertinggi di dalam sejarah Liga Inggeris, anda akan menyedari kelibat seorang doktor.
Setiap kali pemain Manchester City mengalami kecederaan serius, pemain-pemain ini akan dihantar berjumpa dengan seorang doktor berambut putih dan berkaca mata di sebuah klinik yang terletak di Barcelona. Beliau adalah Dr. Ramon Cugat.
Dr. Ramon Cugat dilahirkan di L’Aldea (Tarragona) pada 25 Ogos 1950. Pada usia 15 tahun sekitar tahun 1965, Ramon mengikuti keluarga beliau berpindah ke Barcelona. Sepertimana impian mana-mana anak jati Catalan yang lain, Ramon juga mengimpikan untuk bermain bola sepak untuk kelab terkemuka wilayah itu-Barcelona.
Beliau mengikuti sesi pemilihan skuad remaja, dan terpilih sebagai salah seorang pemain remaja gergasi bola sepak Sepanyol itu. Ramon bagaimanapun hanya beraksi bersama bersama skuad remaja yang terkenal dengan akademi bola sepak La Masia itu sehingga 1971.
Dari bola sepak ke bidang perubatan
Ramon berasal daripada keluarga yang pada asalnya adalah dari golongan petani. Sepertimana ibu bapa yang lain, adalah impian kedua-dua orang tuanya untuk melihat anak mereka berjaya di dalam akademik, dan memperolehi pekerjaan yang bersesuaian. Bola sepak di eropah pada ketika itu tidak menjanjikan pendapat yang lumayan sebagaimana pada hari ini.
Pada 1969, Ramon melaporkan diri di Fakulti Perubatan, Universiti Barcelona untuk meneruskan pengajian di dalam bidang perubatan sukan. Di bawah asuhan Dr. Jose Garcia Cugat- pelopor Persatuan Anthroscopy Sepanyol, Ramon menamatkan pengajian di dalam bidang perubatan dan pembedahan pada 1975 sebelum menerima anugerah doktorat pada 1978.
Setahun kemudian, Dr. Ramon Cugat bergelar doktor pakar bedah orthopedik dan trauma, dan melengkapkan kajian pertama beliau di England pada tahun yang sama.
Pernah bekerja di beberapa hospital utama di Sepanyol, beliau juga pernah menjawat jawatan pengarah di Hospital Quiron, Barcelona. Apakah signifikannya kepakaran Dr. Ramon di dalam bola sepak?
Penemuan Dr. Ramon
Dr. Ramon memulakan penyelidikan dalam perubatan regeneratif dan aplikasinya kepada kecederaan trauma melibatkan sel tubuh badan. Proses rawatan sedemikian dikatakan bertujuan untuk mempercepatkan proses pemulihan sel tubuh badan.
Pada peringkat awal kajian, Dr. Ramon pada mulanya bekerjasama dengan pakar bedah veterinar untuk memastikan kajian beliau boleh digunakan kepada manusia.
Hari ini penemuan Dr. Ramon menjadi salah satu rujukan utama dunia perubatan di dalam bidang orthopedik. Malah kajian beliau di dalam bidang perubatan itu diteruskan dengan lebih lanjut pada 2010 dengan penubuhan Yayasan Garcia Curgat.
Messiah Guardiola
Dr. Ramon Cugat adalah individu yang amat dipandang tinggi oleh pengurus Manchester City, Pep Guardiola. Sama berasal dari wilayah Catalan, pertama kali kedua-dua individu ini bertemu ialah pada lewat 1990-an.
Segalanya bermula akibat kecederaan harmstring yang sering berulang dialami oleh Guardiola ketika masih beraksi bersama Barcelona. Kecederaan tersebut menjadi sangat teruk sehingga menyebabkan beliau pernah melupakan aksi di atas padang selama 400 hari di antara tahun 1997 dan 1998.
Pada ketika itu, apa sahaja yang dilakukan oleh pakar perubatan Barcelona, kecederaan tersebut akan kembali berulang. Kepakaran dan penemuan Dr. Ramon belum diketahui oleh Guardiola pada ketika itu. Ianya adalah isteri kepada Dr. Ramon yang meyakinkan belliau untuk menghubungi Guardiola untuk menawarkan rawatan melalui kaedah penemuan beliau.
Selepas gagal dirawat oleh tiga doktor pakar kelab, pengurus pasukan Barcelona pada ketika itu, Louis van Gaal sendiri tidak yakin kepakaran Dr. Ramon mampu mengubah nasib Guardiola. Dipendekkan cerita, Guardiola menemui Dr. Ramon kerana terdesak, dan beberapa bulan selepas itu Guardiola kembali beraksi seolah-olah tidak pernah mengalami kecederaan harmstring tersebut.
Kisah persahabatan Dr. Ramon-Guardiola
Dr. Ramon kemudiannya menjadi orang kepercayaan dan sahabat baik Guardiola. Malah beberapa pemain Barcelona yang mengalami kecederaan ketika beliau bergelar pengendali turut dihantar untuk menemui Dr. Ramon untuk tujuan rawatan dan pemulihan.
Selepas Guardiola berhijrah untuk menyertai Bayern Munich pada 2013, beliau terus merujuk kepada kepakaran Dr. Ramon untuk kecederaan pemain-pemain kedaliannya. Malah kehadiran Dr. Ramon yang lebih dipercayai oleh Guardiola turut menyebabkan pakar perubatan Bayern Munich, Dr. Hans Müller-Wohlfahr dipecat daripada kelab tersebut selepas bertelagah dengan pengurus itu.
Antara pemain Bayern Munich yang pernah dirawat oleh Dr. Ramon ialah Thiago Alcantara. “Ramon Cugat adalah pakar bedah orthopedik dan seorang psikologi terbaik di dunia,” ujar beliau selepas pulih dari kecederaan hanya dalam tempoh empat minggu.
“Beliau meluangkan masa pada hari Ahad untuk melihat kecederaan lutut saya, dan bagaimana keadaan saya secara dalaman sepanjang rawatan dijalankan. Beliau melakukan tugas beliau dengan baik. Beliau sentiasa percaya kepada proses rawatan yang dijalankan,” tambah Thiago lagi.
Manchester City
Guardiola tidak menghadapi sebarang masalah untuk menggunakan kepakaran Dr. Ramon di Manchester City. Ini kerana antara perjanjian yang dipersetujui oleh kelab tersebut untuk Guardiola melatih City ialah untuk menggunakan kepakaran Dr. Ramon.
Malah orang kanan Dr. Ramon, Eduardo Mauri turut dilantik sebagai doktor kelab Manchester City untuk memudahkan sebarang urusan berkenaan kecederaan pemain sebelum dirujuk kepada Dr. Ramon di Barcelona.
Agak menghairankan mengapa Manchester City perlu menghantar pemain yang mengalami kecederaan ke Barcelona setiap kali mengalami kecederaan, walhal kelab bola sepak itu sendiri memiliki kompleks perubatan canggih milik mereka sendiri.
Ini berikutan Dr. Ramon memilih untuk tidak menyertai mana-mana kelab, dan mahu merawat pemain bola sepak dari serata dunia yang mahukan khidmat beliau. Dan sudah tentu Manchester City adalah client utama beliau pada hari ini. Vincent Kompany, Sergio Aguero, Gabriel Jesus dan Kevin de Bruyne adalah antara pemain yang pernah dan sedang dirawat oleh Dr. Ramon.
Penutup
Dr. Ramon Cugat dikenali sebagai pakar perubatan bola sepak yang paling dikehendaki pada hari ini. Lionel Messi, Xavi Hernadez dan Victor Valdés adalah antara nama besar lain di dalam bola sepak yang pernah menerima rawatan daripada beliau.
Pernah bergelar pemain bola sepak bersama Barcelona, Dr. Ramon Cugat pada hari ini memilih bidang lain untuk menyumbang kepada sukan kegemaran beliau. Kisah ini cukup untuk menjelaskan mengapa beliau digelar ‘Messi’ dunia perubatan di kalangan pemain-pemain terkemuka di eropah.