Dr. Maszlee Malik: Menteri Pendidikan Malaysia Yang Menyokong Manchester City

Setelah ditabalkan sebagai Perdana Menteri ke-7, Tun Mahathir Mohamad tidak berlengah dengan mengumumkan senarai ahli kabinet pilihan beliau pada minggu kedua menduduki Putrajaya.

Tiga belas ahli anggota kabinet diumumkan, sebelum mengangkat sumpah pada dua hari lalu untuk melengkapkan barisan pentadbiran baru negara.

Salah seorang anggota Kabinet yang menarik perhatian kami ialah,Dr. Maszlee Malek. Menteri Pendidikan baharu ini dikenali kerana keterlibatan beliau dalam pelbagai organisasi termasuk bola sepak.

Latar Belakang

Dr.Maszlee Malik dilahirkan pada 19 Disember 1974. Menariknya, ibu kepada Dr.Maszlee adalah dari keturunan Hakka. Manakala ayahnya adalah Melayu.

Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Temenggong Abdul Rahman 2, sebelum ke Kolej Sultan Abu Bakar (dahulunya dikenali sebagai The English College Johore Bahru) dan juga Maahad Johor.

Maszlee Malik kemudiannya memperolehi Ijazah Sarjana Muda di dalam pengajian Fiqh dan Usul al-Fiqh dari Universiti Al al-Bayt, Jordan.

Latar belakang Dr.Maszlee Malik

Tamat pengajian di Jordan, Maszlee Malik kembali ke tanah air sebelum melanjutkan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana di dalam bidang yang sama.

Beliau kemudian melanjutkan pelajaran di School of Governments and International Affairs (SGIA) di University of Durham pada tahun 2007 dan mendapat ijazah kedoktoran dalam bidang Good Governance pada tahun 2011.

Selain daripada mahir berbahasa Malaysia, Arab dan Inggeris, Dr. Maszlee Malik turut berkebolehan bertutur di dalam Bahasa Perancis, Jerman, Mandarin dan Hokkien.

Manchester City

Sepertimana anda dan saya, Dr. Maszlee Malik adalah seorang peminat sukan bola sepak.

Kelab Inggeris yang disokong oleh beliau semestinya adalah pasukan biru muda, Manchester City.

Empat tahun menuntut di Britain, Dr. Maszlee menjadi saksi pasukan biru muda dari Manchester itu.

Dr. Maszlee merupakan penaung kepada Kumpulan Penyokong Manchester City Malaysia (MCM). Beliau kerap bersama penyokong Manchester City di Malaysia dalam pelbagai program kelab penyokong juara Liga Perdana Inggeris (EPL) musim 2017/18 tersebut.

Antara program yang pernah dihadiri beliau ialah sesi ‘gathering’ MCM bersama Penggerak Belia Tempatan (PeBT) Majlis Bandaraya Shah Alam dan beberapa lagi badan bukan kerajaan yang lain.

Ketika berkempen dalam PRU 14 yang lalu, Dr. Maszlee berkata beliau mahu mengambil inspirasi dari kejayaan Manchester City pada musim ini.

“Jersi pasukan Manchester City ialah biru muda. Ia sama dengan warna pada bendera PKR, yang akan digunakan oleh semua parti di dalam pakatan pembangkang pada PRU 14.”

Sergio Aguero
(Photo by Clive Brunskill/Getty Images)

“Kebetulan saya adalah salah seorang penyokong setia Manchester City. Pemain kegemaran saya ialah penyerang, Sergio Aguero dan juga pemain tengah dari Ivory Coast, Yaya Toure,” ujar Dr.Maszlee ketika ditemuramah oleh akhbar The Star pada awal bulan ini.

Dalam temuramah tersebut, Dr. Maszlee turut berpendapat Pakatan Harapan harus belajar daripada Manchester City bagaimana untuk menjadi juara. Di dalam landskap politik, Dr. Maszlee mahu Pakatan Harapan menjadi juara di hati rakyat.

Pep Guardiola pada musim ini telah mengubah taktikal bola sepak moden yang digelar ‘Juego de Posición’ di Etihad. Ia adalah taktikal yang pada asalnya lahir daripada ‘Total Football’ dengan asas permainan mengawal penguasaan bola untuk menewaskan lawan.

(Photo by Clive Brunskill/Getty Images)

Namun ia turut menuntut pemain beraksi di dalam pelbagai posisi secara lebih kerap di dalam sistem ‘hybrid’ pada setiap fasa permainan.

Dalam erti kata lain, Dr.Maszlee mahu Pakatan Harapan kreatif ketika mendekatkan diri kepada rakyat.

“Saya adalah seorang yang optimistik. Walaupun baru melibatkan diri di kancah politik, saya mahu ‘work smart’, dengan menyentuh hati rakyat.”

“Tetapi pada hari ini, saya juga faham kepentingan untuk mendedahkan diri di alam maya,” ujar bekas pensyarah Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) itu.

Sokong JDT

Sebagai anak jati Johor, beliau tidak ketinggalan dalam memberi sokongan kepada kelab di selatan tanah air itu. Akaun Instagram beliau juga memuatkan gambar di mana beliau mengenakan jersi JDT.

Pernah ada portal media menembual beliau untuk mendapatkan pandangan beliau mengenai JDT pada beberapa tahun lepas.

Dr. Maszlee memberikan contoh gaya hidup yang sihat. Sewaktu kerjayanya sebagai pensyarah UIAM, beliau pernah dilihat berjoging di sekitar di kampus bersama rakan sekerjanya dari fakulti lain.

Sewaktu sesi kempen di Simpang Renggam, kawasan parlimen yang ditandingi beliau, telah diadakan sesi berjoging bersama masyarakat disitu.

Pengalaman peribadi

Kenangan penulis bersama Dr. Maszlee Malek sebelum PRU14.

Sebenarnya penulis merupakan rakan peribadi beliau sejak bersama di MCM. Beliau adalah salah seorang ahli kepada Pertubuhan Mutlaqa Asatizah dan Du’at (MURSHID) bersama-sama dengan penulis.

Secara peribadinya, beliau seorang yang bertoleransi dan ‘sporting’. Komitmen beliau terhadap organisasi yang disertainya amatlah baik termasuk ketika masih bergelar pensyarah di UIAM.

Penutup

Tahniah kepada Dr. Maszlee Malik atas perlantikan sebagai Menteri Pelajaran Malaysia yang baru.

Semoga YB Dr. Maszlee Malek dipermudahkan urusan di Kementerian Pendidikan Malaysia. Kami berharap industri sukan di peringkat institusi pendidikan terutamanya di peringkat sekolah dapat dimartabatkan semula melalui kepimpinan beliau.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN