Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Dr. Johan Kamal Hamidon melihat pendekatan Malaysian Football League (MFL) dalam usaha menangani masalah hutang dalam industri bola sepak negara harus dipandang serius.
Selaras misi MFL mahu mengangkat imej Liga Malaysia di peringkat antarabangsa, Johan optimis peraturan kawalan ekonomi yang akan diperkenalkan oleh MFL pada tahun hadapan dapat memberikan satu suasana baharu dalam bola sepak tempatan.
Tanpa berselindung, Johan memberikan sokongan penuh terhadap pelaksanaan kawalan ekonomi diwujudkan bagi terus memastikan pasukan-pasukan Liga Malaysia tidak dihimpit dengan masalah hutang tunggakan gaji pemain.
Justeru, Johan berharap usaha MFL itu harus mendapat sokongan daripada semua pihak termasuk pihak pengurusan persatuan negeri dan kelab yang harus bersedia mengubah mentaliti mereka.
“Saya menyokong pelaksanaan kawalan ekonomi yang mahu diwujudkan pada tahun depan yang mana ini adalah satu langkah positif bagi memastikan keharmonian Liga Malaysia terpelihara.
“Secara peribadi saya menganggap Liga Malaysia sebenarnya memiliki potensi cukup besar untuk menjadi salah satu tarikan di Asia dan jika kita memiliki sistem lebih efektif, secara tidak langsung dapat mengurangkan masalah dihadapi pasukan-pasukan yang berdepan masalah kewangan,” katanya.
MFL baru-baru ini menerusi kenyataan Ahli Lembaga Pengarahnya, Datuk Wira Yusoff Mahadi memaklumkan badan pentadbir Liga Malaysia itu bersedia mempraktikkan sistem kawalan ekonomi seperti yang digunakan LaLiga.
Sejak dilaksanakan pada 2012, LaLiga telah berjaya menghapuskan bebanan hutang pasukan bertanding sebanyak €90 juta (RM422.87 juta) pada 2012 kepada sifar pada tahun 2017 sekali gus berjaya menyelesaikan masalah kemelut gaji di antara pasukan dan pemain dalam tempoh lima tahun.
Menerusi kawalan ekonomi ini perbelanjaan pasukan dikawal mengikut kedudukan kewangan mereka dan tindakan lebih tegas akan diambil kepada pasukan yang masih berhutang selepas peraturan itu dikuatkuasakan.
Ini terbukti apabila LaLiga menyingkirkan kelab Elche FC gara-gara berdepan masalah hutang biarpun menduduki tangga ke-13 pada musim 2014/2015.
Malah kelab Real Murcia juga disingkirkan ke Divisyen Tiga biarpun menduduki kelompok empat teratas Divisyen Dua apabila gagal menyelesaikan masalah hutang pada tahun 2014.
Dalam perkembangan sama, Johan turut menganggap pendekatan baharu yang diperkenalkan oleh MFL ini harus diteliti lebih mendalam memandangkan perbezaan ketara di antara Liga Malaysia dan LaLiga.
“Apa yang saya harapkan adalah MFL harus sentiasa memastikan pengenalan beberapa polisi baharu hendaklah sesuai dengan liga tempatan kerana liga kita masih jauh beza jika mahu dibandingkan dengan LaLiga,” tambahnya.