Mujur kesilapan penjaga gol, Rahadiazli Rahalim tidak menjadi penyebab kegagalan skuad B-22 negara di Merlion Cup 2023 seperti kesilapan Haziq Nadzli yang menyebabkan Malaysia terlepas pingat emas Sukan SEA 2017.
“10 kali saya selamatkan gol orang takkan ingat tetapi satu kesilapan saya, orang akan ingat sampai bila-bila,” kata Haziq sejurus perlawanan tamat.
“10 kali saya selamatkan gol orang takkan ingat tetapi satu kesilapan saya, orang akan ingat sampai bila-bila” -Haziq Nadzli#bolaMalaysia pic.twitter.com/Vo6Hk36ded
— PG Bolasepak (@PalangGol) August 30, 2017
Ini ungkapan yang tepat menggambarkan nasib seorang pemain bola sepak terutamanya penjaga gol. Jika kesilapan mereka memusnahkan segalanya buat pasukan, sudah tentu ia akan melekat diingatan para penyokong.
Mujur buat Rahadiazli, kesilapannya tidak menjadi punca Malaysia tewas atau terlepas kejuaraan. Malaysia masih mampu menjuarai kejohanan itu.
Malaysia menewaskan Hong Kong 2-1 di final kejohanan jemputan, Merlion Cup yang berlangsung di Stadium Jalan Besar, Singapura, malam tadi.
Gol-gol Malaysia dijaringkan Najmudin Akmal dan Safwan Mazlan untuk memenangi kejohanan itu buat kali pertama sejak ia dianjurkan pada 1982. Merlion Cup kembali dianjurkan selepas ia ‘dilupakan’ hampir empat tahun.
Kesilapan Rahadiazli bukan sekali, tetapi dua kali yang menjadi punca pihak lawan berjaya memperolehi gol. Kali pertama ketika mengatasi Kemboja 4-2 diikuti ketika berdepan cabaran Hong Kong pada perlawanan malam tadi.
Next game jangan buat macam ni lagi la ya.😭 pic.twitter.com/T5u77aJXte
— Shoot! (@ShootAppMy) March 26, 2023
Walaupun ia melibatkan dua aksi yang berbeza, tetapi konsistensi membuat kesilapan yang tidak sepatutnya itu sangat berbahaya buat moral dirinya.
Kesilapan Rahadiazli mengacah pemain lawan dan gagal memegang bola dengan kemas menyebabkan Lim Pisoth mencipta gol pertama Kemboja.
Ia meragut sedikit keselesaan skuad muda negara yang mendahului perlawanan menerusi dua jaringan awal oleh Haqimi Azim Rosli dan V Ruventhiran. Kemboja kian bersemangat dengan gol itu dan kemudian mengikat kedudukan menjadi 2-2 hasil jaringan Sieng Chanthea.
Jika Malaysia tewas perlawanan ini, sudah tentu semua kesalahan akan berada di bahu Rahadiazli, tetapi Malaysia bangkit untuk meledak dua lagi gol menerusi Fergus Tierney dan Najmudin Akmal untuk menang 4-2.
— No Context Bola Malaysia (@nocontextbolamy) March 26, 2023
Malam tadi sekali lagi penjaga gol Terengganu itu membuat kesilapan yang boleh dianggap memalukan (‘blooper’). Beliau meninggalkan gawangnya sehingga ke luar kotak penalti untuk merembat bola yang sedang dikejar penyerang lawan dan pertahanan skuad negara – dan beliau terlepas.
Ia insiden yang memalukan dan mampu meragut keyakinan diri penjaga gol muda itu. Kita tidak mahu beliau terus dirundung kesilapan yang sama.
Penjaga gol Johor Darul Ta’zim (JDT), Haziq Nadzli pernah melalui situasi sebegini yang mungkin memberi impak lebih besar terhadap kariernya.
Dalam final Sukan SEA 2017, beliau menghadiahkan gol buat Thailand seterusnya pingat emas yang diidamkan seluruh negara saat itu. Skuad B-22 negara sebelum itu cemerlang sejak peringkat kumpulan – menang semua perlawanan, seterusnya mengatasi Indonesia 1-0 di semi-final.
Tertumbuk bola masuk ke gawang sendiri boleh dikatakan satu insiden yang menyakitkan dek kerana tiada langsung cabaran terhadapnya.
Ia kemudian berulang sekali lagi pada Sukan SEA 2019 apabila beliau terlepas gol menerusi corak yang hampir sama dua tahun sebelumnya.
Berpunca daripada sepakan penjuru, Haziq sekali lagi terlepas bola ke gawang yang menjadi punca Malaysia tumbang 0-1 kepada Filipina dalam aksi kedua kumpulan. Ia juga prestasi terburuk Malaysia di kejohanan dwi tahunan itu apabila ‘bungkus awal’ dan dihantar pulang Kemboja.
Haziq kini sudah berusia 25 tahun dan masih ‘terkurung’ di lapisan ketiga penjaga gol JDT dan tentunya belum lagi membuat penampilan bersama Harimau Malaya. Adakah beliau masih dihantui insiden tersebut?
Oleh itu, kita tidak mahu perkara yang sama berulang kerana kesilapan sebegini bisa meruntuhkan keyakinan seseorang pemain di usia muda.
Diharapkan Rahadiazli akan bangkit, bak kata wartawan The Star, T Avineshwaran, “Academy of Petr Cech once scouted you, remember that!“