Pihak pengurusan Borussia Dortmund bersepakat bahawa mereka tidak akan membenarkan mana-mana pemain bintang mereka menyertai Bayern Munich secara langsung selepas ini.
Perkara itu diputuskan dalam usaha menjadikan kelab itu sebagai salah sebuah kuasa besar di Bundesliga.
Dominasi Bayern
Bayern Munich dikenali sebagai kelab dengan strategi untuk mendapatkan pemain terbaik dari Bundesliga untuk menyertai mereka – terutama pemain yang mampu menguatkan pasukan lawan untuk bersaing dengan mereka.
Hoffenheim dan Schalke adalah contoh kelab yang menjadi mangsa taktik Bayern sejak beberapa musim yang lalu. Sebelum itu Borussia Dortmund juga adalah mangsa kuasa kewangan Bayern setelah kelab tersebut pernah bergelar juara bertahan Bundesliha selama dua musim berturut-turut pada 2011 dan 2012.
Antara produk Dortmund sertai Bayern
Antara pemain Dortmund yang menyertai Bayern sebelum ini adalah Mario Gotze, setelah kelab Bavarian itu memenuhi klausa perpindahan €37 juta pemain tersebut.
Bayern turut mendapatkan Robert Lewandowski secara percuma setahun kemudian, Mats Hummels pada 2016, dan Borussia Dortmund tidak pernah memenangi kejuaraan liga sejak daripada itu – sebaliknya hanya melihat penguasaan Bayern Munich beterusan di pertandingan domestik Jerman.
Dortmund kini serius
Skuad Die Schwarzgelben itu pada musim ini cemerlang berada di kedudukan teratas Bundesliga dengan kelebihan empat mata dan satu perlawanan berbanding Bayarn Munich.
Dan menurut laporan SportBILD, Dortmund kini serius untuk tampil sebagai kuasa besar bola sepak Jerman dan enggan menjual aset mereka kepada Bayern Munich.
Untuk mengelakkan senario sama seperti kes Lewandowski, Dortmund kini akan segera menjual pemain yang mempunyai baki kontrak setahun dan enggan memperbaharui kontrak bersama mereka. Demikianlah halnya kes Christian Pulisic yang dijual ke Chelsea baru-baru ini yang dikatakan turut menarik minat dari Bayern.