Pemilik kelab bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor (TMJ) seolah-olah mengesahkan seorang pemain penyerang yang pernah mewarnai kancah saingan Serie A di Itali bakal menyarung jersi skuad Harimau Selatan untuk saingan Liga Malaysia pada musim hadapan.
Tanggapan tersebut adalah berdasarkan jawapan balas kepada ciapan beberapa pengguna Twitter dan pengulas bola sepak bebas yang sering memberi kemaskini terbaru mengenai juara Liga Super Malaysia (MSL) lapan kali berturut-turut, @juanbudiman dan @MarcoNegeri.
I like Serie A
— HRH Crown Prince of Johor (@HRHJohorII) January 6, 2022
Turut melakukan ciapan atas perkongsian @juanbudiman yang melakukan ulang ciap seorang penyerang dari Serie A akan bergandingan dengan Arif Aiman dan Safawai Rasid, TMJ mejawab: “Saya sukakan Serie A.” Rentetan ciapan tersebut tidak berakhir di situ sahaja.
TMJ kemudiannya membalas ciapan @MarcoNegeri dan menjelaskan langkah membawa masuk pemain tersebut harus dilakukan kerana Bergson da Silva akan keseorangan di jentera serangan.
Had to do it. Bergson said he’s lonely upfront. https://t.co/4ft43PfCNF
— HRH Crown Prince of Johor (@HRHJohorII) January 6, 2022
JDT merupakan antara kelab di negara ini yang pernah memancing bekas pemain yang pernah beraksi di Itali seperti Luciano Figueroa (Genoa), Simone del Nero (Lazio), dan Mauricio dos Santos (Lazio).
Minat TMJ terhadap pemain yang pernah beraksi di Itali dan mempunyai latar belakang daripada negara Amerika Latin juga amat kuat apabila mengakui pernah terlepas untuk mendapatkan bekas penyerang AC Milan, Alexandre Pato.
Kini kelab dari selatan tanah air itu bakal membawa seorang lagi pemain yang pernah berkelana di Serie A. Walaupun identiti pemain tersebut belum lagi didedahkan, pemain tersebut dijangka akan mengisi posisi penyerang atau pun penyerang sayap.
Skuad utama JDT yang bersaing di saingan Liga Super pada musim lalu membariskan Bergson da Silva, Leandro Velasquez, Gonzalo Cabrera, Shawn Lowry dan Mauricio dos Santos sebagai pemain import.
Skuad kendalian Benjamin Mora bagaimana pun mempunyai satu kekosongan slot import selepas Gonzalo Cabrera sah meninggalkan pasukan itu pada penghujung musim lalu.
Apa-apa pun pasti ramai yang tertunggu-tunggu, khususnya di kalangan penyokong JDT akan perkembangan terkini perubahan yangb bakal dibawa untuk memperkuatkan skuad JDT untuks saingan musim akan datang.