Menamatkan musim pertama di Liga Super di kedudukan ke-6 adalah pencapaian yang menakjubkan buat pasukan Universiti pertama di Liga Super, UiTM FC.
Walaupun dibarisi majoriti pemain-pemain yang merupakan pelajar-pelajar Universiti Teknologi MARA dan diperkuatkan dengan kehadiran pemain import, mereka masih mampu memberikan saingan malah berada di atas Sri Pahang FC dan Melaka United.
‘Air tangan’ pengendali, Frank Bernhardt dikatakan sangat serasi bersama mereka sehinggakan berjaya mempamerkan prestasi sebegitu baik. Lima pemain import yang turut dilihat memainkan peranan penting mereka dalam saingan musim ini adalah Gustavo Almeida, Victor Nirennold, Ousmane Fane, Mark Hartmann dan Rabih Ataya.
Kelibat Rabih Ataya Di Alor Setar, Sah Bakal Sarung Jersi Kedah https://t.co/ta0qziDchU pic.twitter.com/xqVDKmnxjL
— Semuanya BOLA (@mysemuanyabola) November 19, 2020
Begitupun, hanya pertahanan tengah, Victor Nirennold yang dikekalkan untuk saingan musim depan menjadikan mereka terpaksa memburu pemain-pemain import baharu.
Sedikit perubahan dilihat berlaku apabila Frank Bernhardt bakal mempertaruhkan penjaga gol import untuk musim depan. Musim ini, mereka bergantung sepenuhnya kepada pemain tempatan untuk posisi tersebut iaitu Azfar Afif dan Nor Haziq Aris.
Pemain yang dimaksudkan adalah bekas produk daripada kelab gergasi Croatia, Dinamo Zegreb, Dominik Picak. Penjaga gol berusia 28 tahun itu dijangka akan menjadi pilihan utama untuk mengawal gawang The Lions sepanjang musim 2021 nanti.
Ini bukanlah kali pertama UiTM menggunakan penjaga gol import apabila pada musim 2016, ketika bersaing di Liga Premier, mereka pernah membawa Pavel Matyash.
Oh wow, UiTM FC have signed an import goalkeeper. And not just any import, Pavel Matiash, Kyrgyzstan's number one. pic.twitter.com/9p1u797vGE
— Darren Goon (@DarrenGoon) February 4, 2016
Pavel Matyash hadir dengan reputasi besar – penjaga gol utama skuad kebangsaan Kyrgyzstan dan telah tampil banyak kali di pentas antarabangsa bersama mereka.
Begitupun, nasib kurang menyebelahi mereka apabila menamatkan musim di kedudukan ke-10 Liga Premier, dibezakan hanya empat mata daripada pasukan di dasar liga, Sime Darby FC yang tersingkir ke saingan Piala FAM musim 2017.
Adakah Dominik Picak yang pernah tampil bersama skuad bawah umur Croatia iaitu skuad B-17, B-18, B-19 dan B-21 tahun bakal memberikan impak kepada UiTM FC?
Berdasarkan pemerhatian di YouTube, aksinya bersama kelab-kelab di Croatia antaranya bersama NK Rudes, Dominik Picak dilihat memiliki refleks yang baik dalam menyelamatkan situasi bola mati serta mampu menyelamatkan sepakan penalti.
Satu kelebihan utama, Dominik Picak sangat bagus dalam situasi satu lawan satu, aspek yang pastinya membantunya di Liga Malaysia dan juga UiTM FC. Dengan berketinggian 195 meter, dijangka beliau mampu menjadi pemain penting mereka.
UiTM FC turut membawa masuk bekas pemain Kelantan FC pada musim 2017, Abou Bakr Al Mel, Nana Poku dan bekas pemain Sri Pahang musim lalu, Adam Reed.
KREDIT FEATURED IMAGE: JAN KUPPERT/ SPORTBUZZER
Baca lagi artikel mengenai UiTM FC:
UiTM FC Berjaya Tahan Frank Bernhardt Daripada Cubaan ‘Dipancing’
Faizal Arif: Kekal Bersama UiTM FC Adalah Keputusan Terbaik Buat Saya
UiTM FC Sasar Kekal Dalam Liga Super 2022, Idam Ke Pentas Asia