Penampilan pertama dua pemain import baharu skuad Tok Gajah, Issey Nakajima dan Iwuji Amutu ketika menentang Kedah agak mengecewakan pengendali skuad itu, Dollah Salleh kerana mereka gagal mempamerkan permainan sebenar seperti yang diharapkan.
Justeru itu, Dollah yakin kedua-dua pemain itu akan kembali menemui rentak dan dijangka akan bangkit dalam perlawanan menentang Kuala Lumpur di Stadium Darul Makmur malam ini.
“Malam ni (Selasa) kita ‘tak menjadi’ terutama di bahagian jentera serangan kerana apa yang diharapkan daripada Austin Amutu, Patrick Cruz dan Issey Nakajima nampaknya tidak memberi impak di bahagian itu.
“Saya nampak Amutu dan Issey pada perlawanan pertama ada kekurangan dari segi tahap kecergasan yang ketara.
“Apa yang mereka lakukan dalam latihan sebelum ini, mereka tak dapat lakukan seperti yang dirancang dalam perlawanan pada malam ini,” katanya kepada Berita Harian selepas perlawanan menentang Kedah.
Sementara itu, pengurus pasukan Pahang, Datuk Mohammed Suffian Awang mengesahkan seorang lagi tonggak import, Mohamadou Sumareh yang cedera sebelum ini akan kembali beraksi.
“Beraksi di laman sendiri tidak boleh lagi berakhir dengan kegagalan kerana tiga mata menjadi misi utama pasukan untuk mengejar Johor Darul Ta’zim (JDT) yang semakin selesa di takhta liga.
“Saya harap pemain bangkit daripada dua kekalahan berturut-turut kerana masih ada peluang untuk bersaing biarpun ada jurang 10 mata dengan Harimau Selatan.
“Gandingan Patrick Cruz dan Austin Amutu di bahagian serangan seperti gagal untuk membolosi gawang Helang Merah.
“Pada masa sama, Issey Nakajima juga perlu lebih kreatif terutama membantu jentera serangan. Tetapi saya percaya kembalinya Mohamadou Sumareh yang sudah pulih daripada kecederaan boleh membantu jentera tengah,” katanya.