Norshahrul Idlan Talaha gagal menyempurnakan sepakan penalti dalam aksi Pahang menentang Kedah semalam. Pemain yang juga dikenali sebagai Mat Yo itu melakukan sepakan lemah dan mudah diselamatkan oleh Ifwat Akmal.
Pahang mendapat penalti itu selepas Baddrol Bakhtiar menjatuhkan Dickson Nwakaeme di dalam kotak penalti pada minit ke-25.
Pahang menunggu sehigga lewat perlawanan untuk menang 1-0 ke atas Kedah menerusi jaringan kemenangan pemain gantian – Zuhair Aizat.
Ditanya tentang pandangan Dollah Salleh berkenaan dengan penalti Norshahrul yang dianggap berisiko membuatkan Pahang terlepas kemenangan dalam aksi semalam – Dollah Salleh memberikan respon positif.
Menurut Dollah Salleh, Mat Yo tidak melakukan apa-apa kesalahan dan pemain itu sendiri turut kecewa kerana gagal menyempurnakan penalti itu.
Dollah Salleh juga mengakui, jika bola itu masuk, ianya akan memberikan tekanan berbeza kepada pasukan Kedah. Walaubagaimanapun Dollah Salleh memuji komitmen Norshahrul yang disifatkan beliau konsisten dalam aksi semalam.
Dipetik daripada Berita Harian, Dollah Salleh berkata: “Saya puji dengan komitmen Norshahrul kerana dapat mengekalkan corak permainannya sepanjang perlawanan untuk bersama mendapatkan gol buat pasukan.”
Dollah Salleh memuji komitmen para pemain Pahang yang disifatkan beliau tak kenal putus asa dalam perlawanan ini.
“Saya gembira kerana pemain melakukan segala-galanya untuk mencatat kemenangan sekali gus mengukuhkan kedudukan pasukan dalam carta Liga Super.”
“Bagi saya, semua pemain beraksi dengan baik dan mempunyai beberapa peluang untuk menjaringkan gol tetapi dinafikan pertahanan lawan.”
“Kita juga menguasai 65% perlawanan dan kemenangan ini memberi lebih keyakinan kepada pemain untuk mengekalkan prestasi ini pada perlawanan akan datang,” tambah beliau lagi.
Pahang kini berada di puncak liga untuk sekurang-kurangnya sebelum perlawanan melibatkan JDT berlangsung pada malam ini.