“Bukan pasukan Pahang yang sebenar,” ungkap Dollah Salleh sejurus melihat Sri Pahang tewas 0-2 kepada Terengganu FC dalam aksi Liga Super, malam tadi.
Gol-gol Terengganu diledak di babak pertama menerusi David da Silva pada minit ke-12 dan Faisal Halim di minit ke-24. Ini merupakan kekalahan ke-8 Sri Pahang musim ini yang menyaksikan mereka berada empat mata di atas zon penyingkiran.
David da Silva berhasil meledak gol pertama selepas gerakan antara Faiz Nasir dan Makan Konate didapatinya di dalam kotak penalti lawan sebelum memperdaya dua benteng yang mengawalnya dan melepaskan rembatan deras ke gawang.
12' Gol | David da Silva memberi kelebihan awal kepada Terengganu!@FCTerengganu 1-0 @OfficialPahang #LigaSuper2021 pic.twitter.com/LRPsBZSgHb
— Malaysian Football League (@MFL_MY) August 7, 2021
Minit ke-24, Faisal Halim memanfaatkan peluang keduanya apabila menanduk masuk hantaran lambung Faiz Nasir dari sebelah kiri gawang. Sebelum gol itu, Faisal Halim gagal membuat sentuhan hantaran leret di depan gol oleh Hakimi Abdullah.
Menurut pengendali Sri Pahang, Dollah Salleh, beliau terkejut dan hairan dengan persembahan anak buahnya pada perlawanan malam tadi walaupun telah berehat seminggu berbanding lawan yang turun beraksi pada pertengahan minggu lalu.
“Hari ini Pahang main tak baik, teruk hari ini. Tak bermaya hari ini dan nampak keletihan. Bukan pasukan Pahang yang sebenar. Saya pun tak pasti kenapa jadi macam ni. Nak cakap keletihan, kita sudah berehat, tak bermain berdepan Kedah.
24' Gol | Tandukan Faisal Abdul Halim menggandakan kedudukan Terengganu!@FCTerengganu 2-0 @OfficialPahang #LigaSuper2021 pic.twitter.com/pPHQxnKpXM
— Malaysian Football League (@MFL_MY) August 7, 2021
“Macam mana pun, saya kena terima hakikat. Rasa hampa juga sebab kita kalau boleh tidak mahu kedudukan kita dalam zon bahaya. Saya mengharapkan kita sekurang-kurangnya seri [dengan Terengganu],” ujarnya ketika dalam sidang media.
Dengan 17 mata daripada 17 perlawanan, Sri Pahang hanya dipisahkan empat mata daripada Perak FC yang berada di zon penyingkiran. Dan ini merupakan kekalahan pertama mereka selepas liga kembali bersambung pada hujung Julai lalu.
Sebelum ini skuad Tok Gajah merekodkan dua keputusan seri berdepan Melaka United (1-1) dan Sabah FC (2-2) sebelum meraih kemenangan 1-0 ke atas PJ City.
📊 KEDUDUKAN LIGA SUPER – LS18#LigaSuper2021 pic.twitter.com/EJjdwYHsrA
— Malaysian Football League (@MFL_MY) August 7, 2021
Dollah Salleh juga tampil mengingatkan para pemainnya agar bangkit kerana dengan persembahan seperti malam tadi, mereka tidak akan ke mana dan mungkin berdepan situasi sukar di penghujung musim apabila terpaksa mengelak penyingkiran.
“Kalau pemain kekalkan permainan sebegini, saya rasa kita takkan pergi ke mana. Kita kena pastikan kita tidak tercicir [mata] dalam kelompok di zon bahaya ini. Itu yang saya risaukan. Tetapi saya percaya, pasukan akan bangkit semula,” jelasnya lagi.
“Kedua-dua gol itu bagi saya gol mudah. Sebab itu saya cakap, [pemain] macam tak bermaya dan Terengganu ambil kesempatan itu,” ungkapnya tentang gol lawan.
Selepas ini Sri Pahang akan berdepan KL City sebelum berdepan cabaran pendahulu liga, Johor Darul Ta’zim (JDT) yang tentunya perlawanan sukar buat mereka.