Pengendali Sri Pahang, Dollah Salleh gagal beri jawapan kegagalan mereka buat kali kedua berturut-turut meraih mata dan memberi komen tentang jentera serangannya.
Sri Pahang tewas 0-2 kepada KL City FC dalam aksi minggu ke-19 Liga Super selepas penyerang ‘bidan terjun’, Romel Morales membuka akaun jaringan sebagai penyerang selain jaringan kedua peribadi Zhafri Yahya, melengkapkan kemenangan buat lawan.
Ini menyaksikan skuad Tok Gajah sudah gagal meledak gol dalam dua perlawanan berturut-turut, selain tewas dengan keputusan perlawanan yang sama, selepas tewas 0-2 kepada Terengganu FC pada aksi yang berlangsung pada awal Ogos yang lalu.
Jentera serangan mereka gagal mencipta jaringan dan ini menimbulkan persoalan di fikiran Dollah Salleh selepas pelbagai usaha dilakukannya untuk membaikinya.
Katanya di sidang media, “Ini yang saya nampaklah, sejak akhir-akhir ini nampak susah untuk kita menjaringkan gol. Saya tak tahu kenapa. Kita sudah cuba macam-macam.”
“Dalam latihan pun kita sudah bagi latihan shooting kepada penyerang. Dan masih lagi benda ini [tumpul] berlaku,” jelas Dollah Salleh mengenai ketumpulan jentera serangan yang digerakkan oleh Manuel Hidalgo, Malik Mat Ariff dan Ang Kaung Mann.
Penyerang import dari Myanmar, Ang Kaung Mann telah tampil sebanyak lima kali bersama Sri Pahang dan berhasil meledak dua gol iaitu ketika menewaskan Perak FC pada Mei dan ketika menang ke atas PJ City FC pada awal Ogos yang lalu.
Manuel Hidalgo yang diharapkan menjadi arkitek sebagaimana dalam beberapa aksi permulaannya dahulu juga gagal memberikan impak dan membantu Ang Kaung Mann dan Malik Mat Ariff dalam usaha mereka untuk merobek gawang pelawat.
Dalam aksi yang berlangsung di Stadium Darul Makmur itu, babak pertama berakhir dengan tanpa jaringan dan Sri Pahang dilihat cuba bangkit ketika perlawanan menuju ke penghujung babak pertama, namun mereka tampak gagal melakukannya.
49' Gol | KL City kini berada di depan hasil jaringan Romel Morales!@OfficialPahang 0-1 @KLCityFootball #LigaSuper2021 pic.twitter.com/ce4uOPbbOm
— Malaysian Football League (@MFL_MY) August 20, 2021
Sebaik sahaja babak kedua bermula, Romel Morales yang masih belum berjaya untuk meledak jaringan ketika tampil di posisi penyerang, akhirnya berjaya meledak jaringan pada minit ke-49 hasil gerakan yang dimulakannya bersama J. Partiban.
Hantaran Partiban berjaya dihadang benteng sebelum Paulo Josue merampas dan memberikannya kepada Romel Morales yang memperdaya dua benteng lawan sebelum melepaskan rembatan padu menewaskan Daniel Wafiuddin di gawang.
70' Gol | "Tap in" Zhafri Yahya menggandakan kedudukan pasukan pelawat!@OfficialPahang 0-2 @KLCityFootball #LigaSuper2021 pic.twitter.com/x9tZcNAhuZ
— Malaysian Football League (@MFL_MY) August 20, 2021
Daniel Wafiuddin yang tampil buat kali kedua bersama tuan rumah itu dilihat telah memberikan aksi yang baik di babak pertama dengan beberapa kali menafikan peluang boleh gol dimiliki oleh KL City, namun ia gagal diteruskan di babak kedua.
Beliau sekali lagi telah melepaskan gol buat pelawat pada minit ke-70 apabila gagal menangkap hantaran lintang rendah Partiban yang berjaya disambut Zhafri Yahya.
Dollah Salleh turut memberikan andaian kegagalan di benteng berpunca disebabkan kegagalan jentera serangan Sri Pahang berfungsi lebih baik dalam aksi semalam.
“Mungkin ini yang telah membuatkan ada pemain yang tidak berpuas hati, khasnya di bahagian pertahanan dan di situ kita telah buat kesilapan,” tambahnya lagi.