Dua gol oleh pemain import yang ditandatangani pada minit akhir, Forkey Doe dan satu gol penampilan sulung daripada Patrick Cruz sudah memadai untuk Pahang membawa balik 3 mata penuh dalam saingan unifi Liga Super di Stadium KLFA, Cheras malam tadi.
Pengendali skuad Tok Gajah, Dollah Salleh melakukan sedikit rombakan di bahagian serangan dengan memasukkan pemain import yang baharu, Patrick Cruz untuk bergandingan dengan Forkey Doe manakala Muslim bergandingan dengan Afif setelah pemain pertahanan import dari Brazil, Alex Moraes digugurkan.
Malah, Dollah mendedahkan Forkey Doe sebenarnya mengalami kecederaan terseliuh buku lali sehingga terpaksa diketepikan pada sesi latihan sebelum ini.
“Walaupun mengalami kecederaan namun Forkey Doe tetap bersemangat untuk bermain dan dia menunjukkan malam ini (malam tadi) betapa dia layak untuk berada dalam kesebelasan utama.
“Dengan prestasi cemerlangnya buat masa ini, itulah yang kita harapkan selepas pasukan bergelut dengan masalah penyerang pada awal musim sebelum ini.
“Bukan sahaja Forkey Doe malah Patrick Cruz juga menunjukkan keserasian yang baik. Jadi saya boleh kira ramuan sudah menjadi dan ia dibuktikan menerusi kemenangan yang kami raih,” katanya seperti dipetik dalam Berita Harian.
Kemenangan 3-1 ke atas pasukan Selangor semalam melonjakkan kedudukan Pahang dalam carta Liga Super dan menghuni di kedudukan ketiga selepas 4 perlawanan setakat ini.
Dollah turut memuji prestasi anak buahnya dan berpuas hati dengan persembahan mereka yang mempamerkan corak permainan seperti yang dimahukan olehnya.
“Secara keseluruhan, saya berpuas hati dengan persembahan pemain dan inilah sebenarnya corak permainan yang saya harapkan. Jadi ia terbukti pada perlawanan malam ini (malam tadi).
“Apabila semua pemain memainkan peranan masing-masing dan mencipta keserasian yang lebih baik maka semua yang kita mahukan akan menjadi di atas padang,” katanya.