Ketua jurulatih Pahang, Dollah Salleh mengakui beliau kecewa dengan dua kekalahan yang dialami skuad bimbingannya dalam saingan CIMB Liga Super Malaysia 2020.
Pahang tewas 1-2 pada perlawanan pembukaan ketika bertemu Selangor di laman sendiri manakala malam tadi skuad Tok Gajah sekali lagi hampa apabila jaringan minit akhir permainan oleh bekas pemain, R. Kogileswaran meranapkan impian mereka sekurang-kurangnya untuk meraih satu mata apabila tumpas 2-3 di Stadium UiTM.
Dollah yang sudah dapat mengenal pasti beberapa kelemahan anak buahnya bagaimanapun masih menaruh keyakinan bahawa Pahang mampu untuk kembali bangkit.
”Saya pun rasa kecewa juga, dalam bola sepak kita main baik macam mana pun kalau tak menang, orang akan persoal mengapa kalah dan sebagainya. Memang dua perlawanan tanpa satu mata pun, agak kritikal bagi saya.”
”Cuma saya percaya bahawa dalam bola sepak kita boleh bangkit semula dan InsyaAllah banyak perkara, khasnya di bahagian pertahanan dan tengah yang perlu diperbetulkan sedikit,” ujar Dollah Salleh dalam sidang media selepas perlawanan.
”Dalam segi untuk bertahan, kita ramai pemain yang ketinggalan di bahagian ‘attacking third’ pihak lawan.”
Dalam pada itu, Dollah turut mendedahkan sebab beliau meletakkan pemain sayap lincah, Mohamadou Sumareh di bangku simpanan dan hanya dimasukkan pada separuh masa kedua.
”Dia masih lagi cedera, sebenarnya hari ini (malam tadi) pun dia masih 50-50 (keadaan) juga. Cuma dia minta kepada saya supaya dapat meletakkannya di barisan 18 pemain.”
”Tadi juga dia mencuba, nampaknya saya rasa masih belum lagi tiba masanya untuk dia bermain di kesebelasan utama.”
Misi Pahang berterusan pada Rabu depan apabila bakal menanti kunjungan Sabah di Stadium Darul Makmur untuk aksi ketiga CIMB Liga Super Malaysia 2020.
Kredit foto: Pahang FA