Pengendali Sri Pahang, Dollah Salleh melihat nafsu untuk menang yang mendesak menyebabkan para pemainnya tidak bermain secara satu pasukan walaupun menguasai lebih separuh aksi perlawanan.
Itu yang menyebabkan Sri Pahang terikat 2-2 menentang Kedah Darul Aman FC dalam aksi Liga Super 2021, malam tadi. Ia merupakan mata pertama mereka selepas ketandusan dalam tiga perlawanan.
Tok Gajah menguasai 60 peratus perlawanan sejak dari wisel permulaan dengan Kedah dilihat bergelut bermain tanpa beberapa tonggak utama, selain membuat rombakan besar untuk penggiliran pemain.
Ini perlu dilakukan oleh pengendali Kedah, Aidil Sharin kerana jadual mereka yang padat selepas lima aksi awal mereka ditangguhkan akibat terdapat kes positif dalam kem skuad Hijau Kuning pada Julai.
Bermula pada aksi semalam juga, Kedah kehilangan dua tonggak yang pulang ke negara mereka kerana terlibat dengan aksi pusingan kelayakan Piala Dunia 2022 iaitu Kpah Sherman dan Rabih Ataya.
Sri Pahang seharusnya berjaya memanfaatkan kekurangan pasukan pelawat dengan beberapa gol.
Namun, mungkin nafsu untuk menang menguasai para pemainnya sehingga gagal bermain secara satu pasukan dan Dollah Salleh berkata apa yang ditampilkan mereka lebih kepada permainan individu.
Jelasnya di sidang media, “Nampak para pemain terlalu ingin untuk menang pada malam ini [semalam] sehingga mereka bermain secara individu. Itu puncanya corak permainan kita [tak berkesan].”
“Bila masuk Malik [Mat Ariff] dalam pasukan, nampak banyak perubahan dari segi menyerang. Itulah yang sebenarnya saya harapkan daripada pasukan. Terkilan jugalah, kita inginkan tiga mata itu.
“Tetapi dengan seri ini pun saya bersyukur jugalah,” tambah Dollah Salleh lagi mengenai aksi semalam.
Bercakap tentang prestasi para pemainnya, Dollah Salleh berkata, “Nampak masih tidak begitu menjadi walaupun nampak kita banyak menyerang tetapi kita tak banyak cipta peluang untuk jaringkan gol.”
“Kita banyak bergantung kepada permainan individu berbanding kepada satu pasukan,” jelasnya lanjut.
📹 HIGHLIGHTS: @OfficialPahang 2-2 @kda_fc
Sri Pahang FC bangkit dua kali untuk mengikat Kedah Darul Aman FC.
Gol Kedah dijaringkan oleh Amirul Hisyam dan Syazwan Zainon manakala Sri Pahang membalas menerusi Kenny Athiu dan gol sendiri Loqman Hakim.#LigaSuper2021 pic.twitter.com/anTXrwGJu1
— Malaysian Football League (@MFL_MY) September 1, 2021
Permainan yang longgar dipamerkan sepanjang babak pertama oleh Kedah dengan tuan rumah tampil lebih baik dalam penguasaan bola. Walaupun begitu, Kedah terlebih dahulu mendahului aksi menerusi jaringan Amirul Hisyam pada minit ke-12, sebelum ia disamakan oleh Kenny Athiu pada minit ke-29.
Selepas sejam perlawanan berlangsung, Aidil Sharin mengeluarkan Fandi Othman dan Fayadh Zulkifli untuk memasukkan dua pemain ‘otai’, Azamuddin Akil dan Syazwan Zainon yang tidak sampai lima minit dimasukkan telah berjaya bergandingan menghasilkan gol kedua buat pasukan pelawat.
Namun, Sri Pahang bukanlah pasukan yang mudah mengalah dan mereka memanfaatkan penguasaan perlawanan dengan acapkali hadir untuk mengasak ke kubu pasukan pelawat dan hasilnya, mereka meraih jaringan penyamaan di minit ke-87 menerusi jaringan sendiri bek tengah, Loqman Hakim.