Enam perlawanan tanpa kemenangan dan tiga kekalahan berturut-turut, Dollah Salleh memang sudah menjangkakan tekanan yang bakal dilalui bersama Sri Pahang FC.
Kekalahan 0-3 kepada Penang FC melengkapkan tiga aksi dengan kekalahan bermula dengan tewas 1-2 kepada KL City FC dan kemudian 0-2 kepada Johor Darul Ta’zim, minggu lalu. Namun, beliau tetap terima cabaran mengendali semula Sri Pahang.
Berdepan Penang yang pada awalnya beliau jangkakan akan ada kebangkitan daripada barisan pemainnya, sebaliknya telah berlaku apabila mereka mudah dijinakkan oleh Harimau Kumbang di kandang lawan dalam perlawanan lewat malam tadi.
Sri Pahang telah tampil dengan perubahan berani tanpa meletakkan penyerang import mereka, Yevhen Bokhashvili dan mengetengahkan Abdul Malik Mat Ariff selain kemasukkan bek kiri, Fazly Mazlan dan Shahrul Aizad di bek kanan.
Bagitupun, impak yang dihadirkan oleh Abdul Malik jelas tidak kelihatan apabila tuan rumah dilihat mudah untuk mengetepikan penyerang yang sudah sekian lama menghilangkan diri itu. Penang dilihat tampil kukuh ketika bertahan.
Ini yang menyukarkan barisan pemain tengah Tok Gajah untuk mula menjana asakan dan melepaskan Abdul Malik ke posisi lebih baik untuk mengasak gawang lawan.
Dan kesilapan ketika bertahan pada awal babak pertama menjadi punca kepada kekalahan tersebut. Rombakan pemain yang dilakukan oleh Dollah Salleh memakan dirinya apabila kubu yang dibinanya menjadi kucar-kacir pada awalnya.
“Kita bermula dengan pemain-pemain muda dan tempatan kecuali Lee Tuck. Bahagian pertahanan pada 20 minit awal agak kucar-kacir dan nampak longgar khasnya di sebelah kanan dan Penang telah mengambil kesempatan itu,” jelas Dollah Salleh.
Begitupun, jika dilihat, hanya Nur Izzat Che Awang yang boleh dianggap sebagai pemain muda, sementara pemain-pemain lain dalam kesebelasan utamanya berusia antara 26 tahun hingga 32 tahun. Adakah maksudnya, pemain kurang berpengalaman?
Ini kerana, jika diperhatikan lebih separuh daripada skuadnya dibarisi pemain yang mentah dari segi pengalaman walaupun sudah menjangkau usia lebih 23 tahun.
Dan disebabkan kelonggaran benteng, Dollah Salleh terpaksa mempertaruhkan semula Herold Goulon yang jelas masih belum pulih daripada kecederaan untuk mengukuhkan bentengnya. Dan ia berjaya untuk mengekang Penang terus mengasak mereka.
Ketika ditanya tentang tekanan ketika ini, Dollah Salleh tidak menyembunyikannya. Ujarnya, “Saya ambil alih pasukan ini pun sudah dalam tekanan. Itu memang saya tidak nafikan. Ketika jadi pengurus pasukan, saya sudah tahu situasi pasukan.”
“Jadi saya ambil risiko juga apabila diarah oleh Yang Amat Mulia Tengku Muda Pahang untuk saya ambil pasukan semula. Saya sahut cabarannya, cuma saya tahu risikonya agak tinggi,” jelas Dollah Salleh lagi mengenai tekanan yang dilaluinya saat ini.
Sri Pahang ketika ini berada di kedudukan kedua tercorot Liga Super 2021 dengan hanya mengumpul lima mata, namun tidak jauh daripada pasukan di tangga ke-9 dan ke-10 liga iaitu Perak FC (sembilan mata) dan Melaka United (tujuh mata).
KREDIT FEATURED IMAGE: SRI PAHANG FC
Baca lagi artikel lain mengenai Dollah Salleh dan Sri Pahang FC:
Kalah Lagi, Sri Pahang Disaran Buat Shif Penggiliran Dollah dan Dooley
Kenapa Dollah Salleh Ramal Kebangkitan Sri Pahang Berdepan Penang Nanti?
Thomas Dooley Dedah Pengurusan Sri Pahang Arah Supaya Jauhi Pasukan