Penampilan tiga pemain import baharu jelas memberikan impak positif kepada corak permainan Sri Pahang sehingga mampu mengikat Selangor 2-2 dalam aksi Liga Super yang berlangsung di Stadium Darul Makmur, Kuantan pada Rabu.
Ketua jurulatih Sri Pahang, Dollah Salleh menganggap aksi pertama pusingan kedua itu sebagai permulaan yang baik untuk mereka dan berharap pasukannya mampu bangkit untuk menamatkan saingan musim ini di kedudukan terbaik.
Jelasnya aksi berdepan Selangor tentunya satu tugas yang sukar untuk anak buahnya terutamanya dengan prestasi buruk yang ditampilkan pada separuh pertama musim ini dan beliau tentunya tidak mahu terus kehilangan mata dan seterusnya tersingkir ke saingan Liga Premier.
Berakhir perlawanan diantara Sri Pahang FC menentang Selangor FC di Stadium Darul Makmur sebentar tadi. Jaringan Abdul Malek di minit-minit terakhir perlawanan menghadiahkan Sri Pahang FC 1 mata apabila keputusan akhir perlawanan berkesudahan seri 2-2. #SRPSEL#spfc2021 pic.twitter.com/KYlhFOJECx
— Sri Pahang FC (@OfficialPahang) May 5, 2021
Demi memastikan kelangsungan pasukan, Sri Pahang telah membuat rombakan secara besar-besaran termasuk menyingkirkan empat pemain import iaitu Yevhen Bokhashvili, Lee Tuck, Mamadou Wague, dan Pedro Henrique.
Namun Dollah memuji semangat pemainnya yang tidak berputus asa sehingga saat akhir walaupun pada satu ketika seolah-olah telah memihak kepada pasukan pelawat.
Beliau juga gembira dengan aksi memberangsangkan pemain import baharu dari Argentina iaitu Manuel Hidalgo yang berjaya menghasilkan gol pembukaan dan membantu jaringan Abdul Malik Mat Arif penyamaan pada masa kecederaan walaupun baru sahaja selesai menjalani tempoh kuarantin.
Aksi dua lagi pemain, Abubakar Yakubu dan Kenny Athiu juga tidak mengecewakan bagi membantu pasukan untuk sekurang-kurangnya memastikan Pahang tidak lagi berdepan kekalahan.
“Saya boleh katakan aksi mereka memang agak berbeza kalau nak dibandingkan dengan aksi pada pusingan pertama yang agak kucar-kacir,” ujar Dollah kepada Media MFL.
“Ketiga-tiga pemain import ini kita dah boleh nampak sedikit sebanyak kelebihan mereka cuma kita faham mereka baru sahaja baru habis tempoh kuarantin, macam Kenny baru sahaja sampai Kuantan pada hari perlawanan, tetapi kita nak juga dia beraksi.
“Mungkin agak bergelut sedikit dengan kecergasan, tetapi saya tetap bersyukur kami akhirnya dapat menyamakan kedudukan pada minit-minit terakhir.
“Hidalgo pula saya tidak sangka dia boleh menghabiskan 90 minit permainan sebab pada minit 70, dia dah bagi isyarat seperti rasa kekejangan tetapi dia cakap dekat saya yang dia nak juga teruskan sampai habis.”
Seorang lagi pemain import baharu, Aung Kaung Mann dari Myanmar tidak dapat diturunkan kerana masih menjalani kuarantin.
Sri Pahang akan berdepan Perak pada Ahad ini untuk perlawanan ke-13 sebelum aksi liga berehat selama dua bulan untuk memberi laluan kepada kem latihan pusat skuad Harimau Malaya dan aksi pusingan Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.
Baca juga artikel kami yang lain mengenai perkembangan bola sepak tempatan:
Abdul Jalil Rasheed Antara 9 Individu Berkebolehan Tampil Bantu FAM
Kurniawan Katakan Aksi Sabah Luar Biasa, Amri Yahyah Juga Ikut Luar Biasa!
Arif Aiman Buat Pilihan Tepat Pilih JDT, Kini Digelar ‘Revolusi Harimau Selatan’