Kelincahan tonggak Pahang, Norshahrul Idlan Talah atau dipanggil sebagai ‘Mat Yo’ ketika aksi persahabatan antarabangsa menentang Kyrgyzstan di Stadium Hang Jebat semalam mencuri tumpuan peminat bola sepak tanah air.
Dalam perlawanan itu, beliau berjaya mengucar-kacirkan benteng pertahanan lawan dan hampir menjaringkan gol pembukaan apabila rembatannya dua kali terkena palang. Mat Yo juga sempat menjaringkan gol pertamanya ketika menentang Sri Lanka minggu lepas.
Bagi ketua jurulatih Pahang, Dollah Salleh, beliau memberi jaminan pemainnya itu mampu menyerlah dalam saingan Piala Suzuki AFF 2018 selepas menyepi sekian lama daripada pentas antarabangsa.
Mat Yo adalah antara tonggak utama skuad Harimau Malaya dibawah kendalian Datuk Rajagobal dan pernah membantu negara menjuarai Piala AFF tahun 2010. Gandingannya bersama Safee Sali ketika itu mencipta fenomena dan memberi ancaman kepada lawan.
Ketika ditanya oleh Stadium Astro adakah Mat Yo masih releven meskipun ketiadaan gandingan utamanya di peringkat kebangsaan itu, Dollah pantas menyangkal keberkesanan Mat Yo bergantung kepada individu lain.
Katanya, keberkesanan Mat Yo mampu berlaku dengan sesiapa sahaja, ditambah pula dengan prestasinya yang sedang meningkat ketika ini.
“Saya percaya Mat Yo tidak akan berdepan masalah untuk bergandingan dengan sesiapapun.
“Saya percaya Mat Yo boleh membentuk gandingan mantap di samping Akhyar Rashid dan Safawi Rasid,” ujar Dollah.
Ditambah dengan keberkesanan Mat Yo dengan pemain naturalisasi pertama negara, Mohamadou Sumareh, tugasan ketua jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe dijangka akan lebih mudah.
“Masing-masing mempunyai keupayaan tersendiri, cuma kita tidak mempunyai bisa di depan gol seperti yang dipamerkan Safee sebelum ini,” jelasnya.