Juara Piala FA 2018, Pahang gagal manfaatkan kelebihan ke atas JDT yang bermain dengan 10 orang di halaman sendiri selepas pemain pertahanan mereka, Mauricio Dos Santos dilayangkan kad merah pada separuh masa pertama.
Mengulas mengenai perlawanan tersebut, ketua jurulatih Pahang, Dollah Salleh mengakui pemainnya tidak beraksi dengan baik ketika memasuki separuh masa kedua.
Keputusan seri itu mengakibatkan misi Tok Gajah untuk merampas kedudukan takhta Liga Super daripada JDT tidak kesampaian.
“Memang terkilan kerana kelebihan yang dimiliki selepas lawan beraksi dengan 10 pemain sepanjang tempoh 45 minit perlawanan (separuh masa kedua) tidak digunakan sebaik mungkin.
“Sebaliknya, pemain Pahang mempamerkan permainan terlalu berhati-hati, sedangkan kita perlu mengambil kelebihan itu untuk menambah jaringan.
“Dengan keputusan seri ini, saya kecewa kerana pemain tidak mempamerkan aksi terbaik mereka, walaupun bangkit selepas dikejutkan dengan jaringan JDT di awal perlawanan,” katanya dalam Berita Harian.
Selepas 11 perlawanan, Pahang kekal di tangga kedua liga dengan mengutip 25 mata dan ketinggalan dua mata di belakang JDT.
Dalam perlawanan itu, JDT terlebih dahulu di hadapan menerusi Gonzalo Cabrera pada minit ke-15. Beliau diberikan ruang sangat besar ketika menerima hantaran Leandro. Cabrera memperdaya pertahanan Pahang dan meleretkan bola ke gawang gol.
Tersentak dengan gol awal itu, Pahang cuba memberikan respon segera. Namun JDT bertahan dengan baik. Sehinggalah minit ke-38 apabila Pahang menyamakan kedudukan menerusi Herold Goulon. Ianya berpucan daripada sepakan percuma Saddil Ramdani yang disudahkan oleh Goulon.
Bersambung babak kedua, JDT memasukkan Adam Nor Azlin dan mengeluarkan Leandro. Saddil Ramdani melakukan percubaan pada awal separuh masa kedua, namun ianya tidak menerjah gawang.
Selepas itu, JDT kelihatan bermain lebih baik dan Pahang kelihatan masih bergelut untuk memanfaatkan kelebihan seorang pemain.
Safawi Rasid hampir meletakkan JDT di hadapan menerusi voli deras yang melantun pada bahagian bawah palang. Namun begitu, penjaga garisan menyatakan bola masih belum melepasi garisan gol sepenuhnya. Safawi agak kecewa dengan keputusan pengadil. Keputusan kekal 1-1 hingga tamat perlawanan.