Ketua jurulatih Pahang, Dollah Salleh tidak menyangka pasukannya menjadi tumpuan selepas anak buahnya menjaringkan gol tercantik ke atas Perak dalam saingan separuh akhir pertama Piala FA semalam sehingga tular di media sosial.
Ini adalah detik pada masa kecederaan sebelum tamat perlawanan di mana pemain pertahanan Pahang, Herold Goulon telah menghayunkan kakinya untuk menendang bola dengan tinggi sehingga menewaskan penjaga gol Perak, Hafizul Hakim.
Bagaimanapun, Dollah menyifatkan jaringan itu membantu Pahang membawa bekalan dua gol untuk bertandang ke Ipoh dalam aksi separuh akhir kedua Piala FA minggu depan.
“Sebaik Goulon melakukan tendangan, saya katakan apa yang sudah dilakukannya untuk melakukan sepakan seperti itu dan terus menoleh ke belakang.
“Tapi saya terkejut apabila jurulatih dan pemain simpanan sedang meraikan gol yang dilakukan Goulon yang sememangnya tidak dijangkakan.
“Apa yang boleh saya katakan gol ketiga itu begitu bermakna dan penting sebagai bekalan apabila bertandang ke Ipoh,” katanya dalam Harian Metro.
Jaringan itu juga adalah gol tercantik dan paling istimewa pernah dilakukan Goulon dalam karier bola sepaknya. Beliau juga dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan itu.
“Saya hanya fokus dan melakukan tendangan ke arah pintu gol lawan dan tidak sangka ia menghasilkan gol.
“Memang terkejut tapi tuah menyebelahi saya untuk membantu Pahang meraih kemenangan selesa sebagai bekalan bagi separuh akhir kedua,” kata Herold Goulon yang tidak menyangka sepakannya akan menghasilkan gol ketiga Pahang.