Quantcast

BERITA

Dollah Gembira Pahang Pamer Prestasi Yang Sebenar

Skuad tok gajah berjaya menunjukkan ‘gading’ mereka yang sebenar apabila mudah membelasah Negeri Sembilan 4-0 dalam perlawanan Unifi Liga Super Malaysia di Stadium Darul Makmur kelmarin.

Dua jaringan masing-masing oleh gandingan penyerang import Pahang sudah cukup untuk mereka mengutip tiga mata penuh untuk terus menekan Johor DT di tangga teratas liga ketika ini.

Setelah disisihkan ketika menentang ATM di Piala FA akibat peraturan baru Piala FA yang hanya membenarkan 4 pemain import pada suatu perlawanan, Chan Vathanaka kembali mengisi kesebelasan utama manakala pemain lain kekal tidak berubah.

Pahang berjaya mencipta beberapa peluang sebaik wisel ditiupkan pengadil perlawanan melalui percubaan Cruz dan Doe tetapi penjaga gol Negeri Sembilan Ilham Amirullah kental bertahan.

Namun, pintu gol Negeri Sembilan bolos juga apabila Cruz pantas melakukan rembatan pada minit ke 26 setelah berlaku situasi kelam kabut di dalam kotak penalti pelawat hasil dari sepakan sudut Chan Vathanaka.

Patrick Cruz meraikan jaringan gol bersama Dollah Salleh. FOTO: Pahang FA

Seolah-olah perlawanan akan tamat dengan keputusan 1-0 sebelum perlawanan menuju rehat, Forkey Doe sempat menambah gol kedua untuk tuan rumah melalui rembatan di luar kotak penalti setelah menerima hantaran dari Safuwan Baharuddin.

Mengulas mengenai perlawanan itu, pengendali Pahang, Dollah Salleh memuji persembahan anak buahnya yang bermain mengikut taktikal yang dirancang.

“Kami buat apa yang dirancang dalam sesi latihan dan pemain menterjemahkannya dalam perlawanan, sekali gus mengutip tiga mata penuh di laman sendiri.

“Bagi saya, persembahan yang ditunjukkan adalah yang terbaik setakat ini. Jika corak permainan seperti ini dikekalkan, saya rasa Pahang akan pergi lebih jauh,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Bersambung babak kedua, Pahang terus menambah jaringan sekali lagi melalui Patrick Cruz yang bijak memperdayakan pertahanan Negeri Sembilan termasuk Ilham untuk menjadikan keputusan 3-0 pada minit ke 66.

Forkey Doe kemudiannya menambah gol untuk malam gemilang Pahang setelah mudah menampan bola hantaran dari Faisal Rosli yang melakukan gerakan menarik bersama Wan Zaharulnizam di bahagian kanan kotak penalti Negeri Sembilan.

Jaringan daripada Forkey Doe. FOTO: Pahang FA

“Bagi saya, persembahan yang ditunjukkan pada malam ini (kelmarin) adalah yang terbaik setakat ini. Jika corak permainan seperti ini dikekalkan, saya rasa Pahang akan pergi lebih jauh,” katanya.

Dollah turut memuji persembahan cemerlang 2 penyerang importnya yang menjaring 2 gol pada perlawanan itu.

“Jaringan itu ternyata membantu dan hasilnya empat gol dijaringkan. Saya puji persembahan keseluruhan pasukan yang berjaya mengawal permainan dengan baik.

“Empat gol, masing-masing dua daripada Cruz dan Forkey Doe membuktikan sentuhan mereka berbisa dan melancarkan percaturan pasukan,” katanya.

Selepas lima perlawanan, skuad Tok Gajah menduduki tangga kedua liga Super dengan mengutip 10 mata di belakang pendahulu, Johor Darul Ta’zim (JDT) yang mengumpul 12 mata.

 

KEMASKINI TERUS KEPADA ANDA!

Jadi yang pertama mendapatkan kemaskini dari kami melalui emel!