Quantcast

KAJIAN & FAKTA

Doan Nguyen Duc: Si ‘Pengemudi Sampan’, Hero Tidak Didendang Kebangkitan Bola Sepak Vietnam

Vietnam bakal menjadi jaguh bola sepak baharu Asia jika penilaian ini diambil kira. 14 daripada senarai 23 pemain skuad Vietnam di kejohanan AFF yang lalu berusia 23 tahun dan ke bawah – dengan purata keseluruhan skuad Naga Emas ialah  23.69 tahun. Park Hang-seo, jurulatih dari Korea Selatan telah menerima banyak kredit atas pembentukan DNA dan struktur bola sepak Vietnam di atas padang.

Jurulatih dari Korea Selatan itu turut bekerjasama rapat dengan akademi-akademi bola sepak di Vietnam – untuk memastikan penghasilan pemain bola sepak berkualiti secara berterusan – sesuai dengan keperluan pasukan kebangsaan.

(Photo by Stanley Chou/Getty Images)

Individu di sebalik tabir

Vietnam telah menunggu selama 10 tahun untuk memastikan gelaran ‘jaguh Asia Tenggara’ kembali milik mereka – sejak melakukannya buat pertama kali pada 2008. Jika pencapaian Park mahu diukur, maka kejayaan di kejohanan Piala AFF ini adalah kejayaan ketiga beliau sejak tiba di bumi Vietnam pada September 2017.

Tatkala nama Park diraikan seperti wira (selayaknya beliau) di seluruh pelusuk jalanan di Hanoi, Ho Chin Minh, Da Nang atau Hue, sebenarnya ada satu nama lagi yang pada pendapat kami wajar diberikan pujian atas apa yang Vietnam telah capai pada hari ini – termasuk layak ke Piala Dunia Bawah 20 di Korea Selatan pada Jun tahun lalu.

Tetapi tahukah anda individu yang bertanggungjawab membawa Park ke Vietnam adalah individu sama yang bertanggungjawab terhadap kelab dan akademi bola sepak elit di negara berkenaan – Hoang Anh Gia Lai (HAGL FC) iaitu Doan Nguyen Duc.

(Photo by Stanley Chou/Getty Images)

Doan Nguyen Duc

Doan Nguyen Duc bukan berasal daripada keluarga bangsawan, atau secara asalnya berlatarbelakangkan dari keluarga yang kaya. Ibu dan ayah beliau adalah dari golongan petani – dan Doan sudah mula bekerja dengan mengambil upah juga sebagai petani seawal usia tiga tahun untuk membantu menambah pendapatan keluarga.

Setelah tamat persekolahan, Doan menanam cita-cita untuk memasuki universiti dengan harapan pendidikan mampu mengubah nasib beliau dan keluarganya. Malang sekali Doan gagal ujian kemasukan ke universiti.

Kehidupan bukannya mudah bagi Doan pada ketika itu. Beliau terpaksa bekerja sambil berusaha untuk memasuki universiti. Namun usaha beliau sia-sia. Empat kali menduduki ujian kemasukan ke universiti, Doan gagal setiap dari ujian tersebut.

Doan Nguyen Duc, chairman of Hoang Anh Gia Lai Joint-Stock Co, Photographer: Kevin German/Bloomberg via Getty Images

“The road to education is not smiling to me, so choose another way. Every river leads to the sea, every road is divided into separate ways . ” – Doan Nguyen Duc.

Akhirnya beliau memilih untuk berhenti daripada pengajian dan menumpukan sepenuhnya kepada bidang keusahawanan. Menggunakan simpanan sedia ada, Doan membuka kedai perabot. Perniagaan beliau terus berkembang selepas itu merangkumi bidang-bidang lain termasuk perusahaan mineral, industri getah, janakuasa hidro, hartanah, dan juga bola sepak.

Jodoh pertemuan

Ini kisah bagaimana Doan mengenali Park Hang-seo.

Pada Ogos 2017, Vietnam telah tersingkir di peringkat kumpulan acara bola sepak Sukan SEA yang berlangsung di Kuala Lumpur. Penyingkiran awal dari temasya sukan serantau itu menyebabkan jurlatih pasukan, Nguyen Huu Thang mengambil pendekatan drastik untuk meletak jawatan.

Ini memaksa Persekutuan Bola Sepak Vietnam (VFF) segera untuk mencari jurulatih baharu sebagai pengganti disebabkan kejohanan Piala AFC 2018 pada Januari berikutnya.

Park bukan calon pilihan utama. Malah nama beliau hampir menjadi nama pertama yang disingkirkan dari pemilihan kerana kecenderungan VFF untuk mencari jurulatih yang berasal dari Jepun atau pun dari negara-negara Eropah.

Ianya adalah Doan yang berkeras untuk mencadangkan nama Park Hang-seo setelah meneliti dan tertarik dengan profail jurulatih tersebut – turut pernah bekerja sebagai pembantu Guus Hiddink ketika Korea Selatan berjaya mara sehingga ke separuh akhir Piala Dunia 2002.

Doan akhirnya berjaya meyakinkan VFF setelah turut berjanji akan membiaya gaji Park dengan duit dari poket beliau sendiri sebanyak US$34,000 sebulan. Tidak ramai di kalangan ahli VFF mahu pun rakyat Vietnam yang yakin akan kebolehan Park. Namun setelah apa yang Vietnam telah capai setakat ini – sekurang-kurangnya ia telah berjaya menutup mulut pengkritik.

Kekal merendahkan diri, Doan boleh sahaja berbangga atas pencapaian Vietnam pada hari ini – lebih-lebih lagi atas peranan beliau memastikan Park sebagai jurulatih Vietnam. Beliau tidak perlu berbuat demikian. Ini kerana sumbangan ikhlas beliau pantas menjadi sebutan di kalangan penyokong bola sepak Vietnam di media sosial.

Doan jarang bercakap mengenai sumbangan beliau kepada bola sepak Vietnam – jauh sekali untuk mengambil kredit atas usaha beliau memancing pakar taktikal seperti Park. Malah usahawan yang gilakan bola sepak itu tidak berada bersama-sama lebih 45,000 penyokong lain di Stadium My Dinh untuk menyaksikan perlawanan akhir tersebut.

Hero yang merendah diri

Seperti jutaan rakyat Vietnam yang lain, Doan juga gembira menyaksikan kapten pasukan Naga Emas, Nguyen Van Quyet menjulang trofi kejuaraan Piala AFF Suzuki 2018 pada malam yang cukup bersejarah pada Sabtu lalu.

“Kegembiraan pada saya, sama sahaja seperti apa peminat sukan bola sepak Vietnam yang lain,” ujar beliau.

Ditanya mengenai kenyataan sesetengah pihak yang berkata, jika tidak kerana usaha beliau yang membawa Park Hang-Seo ke Vietnam, maka kejayaan sebegini tidak akan diraikan Pengerusi Kumpulan Hoang Ahn Gia Lai itu sekadar menjawab, “Saya tidak fikir ia sebegitu rupa. Sudah tentu semua orang boleh bercakap mengenai apa yang mereka fikirkan.”

Malah Doan menganggap dirinya bagaikan seorang pengemudi sampan di dalam bola sepak Vietnam. Di negara tersebut, istilah ‘pengemudi sampan’ adalah metafora kepada pengertian seseorang yang melakukan seseuatu pekerjaan tanpa mengharapkan sebarang balasan, atau pun kata-kata pujian.

“Saya tidak akan berkata tidak jika saya boleh melakukan sesuatu untuk membangunkan bola sepak negara ini,” tambah beliau seperti yang dilaporkan oleh Newz Zing.

Apa sahaja demi Vietnam

Doan menubuhkan akademi bola sepak Hoang Ang Gia Lai-JMG pada 2007, yang turut mendapat suntikan bantuan dan kepakaran dari gergasi bola sepak Inggeris, Arsenal pada Julai tahun lalu.

Ramai pemain dari akademi berkenaan pernah beraksi untuk skuad kebangsaan Vietnam seperti pemain tengah Nguyen Tuan Anh dan Luong Xuang Truong, serta penyerang Nguyen Cong Phuong dan Nguyen Van Toan.

(Photo credit should read STR/AFP/Getty Images)

Cong Phuong tidak beraksi dalam perlawnan akhir Sabtu lalu, manakala Xuan Truong hanya dimasukkan ketika baki perlawanan menuju ke penghujung. Ditanya sama ada beliau berkecil hati kerana tidak ramai pemain HAGL FC beraksi di perlawanan akhir, Doan sekadar ketawa mendengar soalan tersebut.

“Tidak ada apa yang perlu disedihkan mengenai perkara itu. Jujur, jika ramai pemain saya berada di perlawanan akhir, adakah ianya pasti mereka mampu membantu Vietnam muncul juara? Kita tidak pernah pasti tentang itu.”

Kebanggaan Doan Nguyen Duc

Mengenai penglibatan beliau di dalam bola sepak, Doan turut menegaskan kebanggaan utama beliau sejak serius di dalam sukan tersebut ialah kejayaan dan perjalanan akademi bola sepak yang beliau bina.

Beliau bangga kerana akademi tersebut menjadi landasan untuk bakat-bakat muda dari seluruh Vietnam untuk merealisasikan impian menjadi pemain bola sepak profesional.

“Itulah kebanggaan terbesar saya. Dan saya mahu kekal bekerja di belakang tabir, memberikan yang terbaik untuk bola sepak Vietnam,” tambah beliau yang satu ketika dahulu pernah memegang jawatan di dalam VFF.

Doan turut menegaskan sasaran utama akademi yang beliau uruskan itu adalah untuk menghasilkan seramai mungkin pemain untuk pasukan kebangsaan, dan bukan untuk kelab milik beliau HAGL FC semata-mata.

“Kelab milik saya telah menjuarai pelbagai kejuaraan. Tiba masanya usaha diarahkan kepada pasukan kebangsaan,” ujar beliau lagi.

Rumusan

Selain daripada akademi bola sepak yang dimiliki oleh Doan Nguyen Duc, Vietnam turut memiliki beberapa lagi akademi yang diasaskan oleh kelab-kelab bola sepak seperti akademi milik Hanoi FC, Vettel FC dan juga PVC FC.

Kempat-empat akademi ini telah memainkan peranan penting dalam mencorak masa depan bola sepak Vietnam. Benar, mereka tidak mempunyai masa untuk bertelagah – apatah lagi untuk mendakwa diri lebih dari yang lain – selain daripada bekerja bersama-sama di bawah satu bendera dan negara yang mereka sama-sama kongsi, Vietnam.

Mungkin inilah definisi ‘winning mentality’ yang wajar kita pelajari dari Vietnam dan dipraktikkan di dalam bola sepak kita.