Jika anda masih ingat, kami pernah menerbitkan satu artikel tentang penjelasan apa itu DNA taktikal dalam bola sepak.
Anda boleh luangkan masa membaca artikel kami bertajuk: DNA Bola Sepak Yang Perlu Dicari, Diperinci Dan Difahami
Semalam dalam satu sesi bersama dengan penyokong bola sepak Malaysia, Presiden FAM menggariskan isu keseragaman taktikal dan cara bermain dalam skuad kebangsaan di semua peringkat.
Kami membuat andaian bahawa, apa yang sedang diikhtiarkan oleh FAM adalah DNA bola sepak. Jadi, baginda menyatakan langkah pertama yang diambil oleh FAM adalah dengan menggunakan kepakaran Pengarah Teknikal FAM, Peter De Roo.
De Roo akan cuba menganalisis segala jenis data yang berkaitan dan mencari satu formula untuk membentuk DNA bola sepak Malaysia.
Jadi, kesemua jurulatih kebangsaan termasuk Tan Cheng Hoe (Harimau Malaya), Datuk Ong Kim Swee (B-23), Bojan Hodak (B-19) dan Lim Teong Kim (PPBN) perlu mengikut perancangan dan strategi taktikal yang dirangka Pengarah Teknikal FAM, Peter De Roo.
Dipetik dari sumber Mstar Online, baginda berkata kepada peminat bola sepak Malaysia yang hadir:
“Peter akan menganalisis cara permainan yang sesuai dengan fizikal pemain pasukan kita untuk memastikan semua pasukan mempunyai cara permainan sama.”
“Semua jurulatih perlu duduk semeja dengan Peter untuk berbincang mengenai perancangan dan status skuad masing-masing pada setiap minggu.”
Pandangan semuanyaBOLA
Ini bukan perkara yang mudah. Tetapi jika ia benar-benar dipandang serius, ia akan membantu dalam membentuk sebuah pasukan yang memiliki satu hubung kait yang baik.
Jadi, promosi kepada pemain daripada peringkat bawah ke peringkat tertinggi akan lebih lancar.
Apapun, sama-sama kita nantikan perkembangan seterusnya tentang perkara ini.