Pemain pertahanan Midtyjylands yang juga merupakan anggota skuad Harimau Malaya, Dion Johan Cools berpendapat Memphis Depay merupakan pemain yang paling sukar untuk dihadapi sepanjang kariernya di Eropah setakat ini.
Bekas penyerang Manchester United dari Belanda itu kini merupakan penyerang utama Barcelona selepas melengkapkan perpindahan dari Lyon pada musim jendela perpindahan musim panas ini.
Cools berkata demikian ketika menjawab soalan peminat di laman Instagram beliau semalam.
Pemain kacukan Belgium-Malaysia itu pernah berhadapan dengan Memphis Depay pada 2015 dalam pertandingan UEFA Champions League.
Cools yang pernag tampil 35 kali untuk skuad remaja Belgium pada ketika itu masih lagi mewakili Club Brugge. Depay pula baru sahaja dipinang oleh Manchester United pada musim panas itu, dan berada di tahap terbaiknya.
Dalam perlawanan tersebut, Club Brugge tewas 0-4 walaupun beraksi di tempat sendiri. Manchester United menang mudah hasil jaringan hatrik Wayne Rooney dan Anders Herrera.
Depay antara yang menyerlah dalam perlawanan tersebut, dan sempat menghasilkan bantuan gol untuk jaringan pertama Rooney.
Kenali Dion Johan Cools, pemain yang ke-26 sertai skuad Harimau Malaya untuk aksi Kelayakan Piala Dunia 2022.🐯🐯#HarimauMalaya #WCQ2022 pic.twitter.com/45vCpCkaom
— VOCKET FC (@vocketfc) June 1, 2021
Tidak banyak yang mampu dilakukan Cools dalam perlawanan ini, kerana beliau hanya dimasukkan sebagai pemain gantian pada minit ke-77 perlawanan.
Cools tidak beraksi bersama pasukan negara pada minggu perlawanan antarabangsa FIFA ini selepas Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) membatalkan dua perlawanan persahabatan kerana isu kebenaran dan logistik dari kerajaan.
Pemain itu bagaimanapun berkata sudah tidak sabar untuk beraksi di Stadium Bukit Jalil.
“Ia adalah satu penghormatan, kebanggaan dan pasti membuatkan saya gembira (menyarung jersi pasukan negara). Saya tidak sabar untuk beraksi di stadium berkapasiti penuh di Malaysia,” kata pemain itu.