Pemilik Kelantan, Norizam Tukiman terus dipalit kontroversi apabila kali ini tampil beberapa individu yang mendakwa mereka ditipu menerusi pelaburan untuk pasukan bola sepak dari Pantai Timur itu.
Individu yang mahu dikenali sebagai NK dan AM (nama samaran) mendakwa mereka dipelawa melakukan pelaburan untuk pasukan The Red Warrior (TRW) FC Sdn Bhd pada tahun 2020 dan dijanjikan pulangan yang lebih lumayan.
Akan tetapi apa yang terjadi sebaliknya apabila sejak waktu itu sehingga kini, tiada perkembangan berkenaan perkara tersebut dari Norizam atau nama popularnya, Zamsaham.
Lebih menyedihkan, mereka masih belum menerima apa-apa pulangan dalam bentuk kewangan meskipun dijanjikan pelbagai perkara sebelum melabur kepada pasukan tersebut.
Contoh seperti pelaburan itu akan ke bursa saham untuk diapungkan ke IPO TRW Berhad.
Malah, pengadu turut mendakwa Zamsaham tidak pernah melakukan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) untuk memaklumkan perkembangan secara terperinci berkenaan pasukan Kelantan.
Setakat ini, jumlah pelaburan dari mereka berdua ini sahaja mencecah hampir RM200 ribu dan mereka percaya angka itu lebih besar jika melibatkan beberapa pelabur yang lain.
Sidang media tersebut telah diadakan di Kuala Lumpur semalam ditemani peguam yang mewakili AM dan NK untuk memperjuang hak mereka.
Tahun 2023 ternyata bukan tempoh terbaik buat Kelantan apabila satu demi satu kontroversi terus menghantui pasukan tersebut.
Dari segi pengurusan, jurulatih, isu gaji dan terkini dikatakan pula beberapa individu terpedaya untuk melabur kepada pasukan kelantan.
Malah lebih teruk, prestasi pasukan juga tidaklah sehebat mana apabila mereka kini bergelut di zon bawahan liga ketika ini. Mereka juga dijangka akan dipotong oleh musuh setempat iaitu Kelantan United yang dilihat lebih teratur persiapan pertengahan musim mereka dengan membawa masuk beberapa pemain baharu.
Zamsaham turut dikatakan akan melakukan sidang media pada jam 3 petang ini untuk menjawab segala dakwaan yang dikeluarkan oleh AM dan NK.
Nama Zamsaham sememangnya sudah tercemar sejak pelbagai isu muncul melibatkan pemain, jurulatih dan kini pelabur.
Pastinya begitu sukar untuk beliau membersihkan namanya selain daripada berlaku jujur dan menyelesaikan segala kemelut satu per satu.
Hal ini kerana, bukti itu ada dan jelas, beliau tidak boleh mengelak dan berselindung lagi.