Dituduh ‘Rosak’ Kerana Media Sosial, Adakah Lingard Mampu Kembali Seperti Dahulu?

Jesse Lingard Media Sosial

Seorang individu telah memuat naik satu video menyebabkan penyokong Manchester United yang geram dengan prestasi buruk Jesse Lingard kebelakangan ini berubah menjadi beremosi apabila melihat pemain itu sebenarnya pernah mempamerkan aksi yang cukup mengkagumkan satu ketika dahulu.

Pemain tengah itu menjaringkan gol Liga Perdana Inggeris (EPL) pertamanya dalam tempoh 18 bulan ketika United menempah slot ke Liga Juara-Juara Eropah (UCL) selepas menang 2-0 ke atas Leicester City tempoh hari.

Dengan memilih lagu latar ‘Fix You’ nyanyian kumpulan Coldplay, kompilasi aksi-aksi terbaik pemain berusia 27 tahun itu dipaparakan untuk menunjukkan yang beliau merupakan watak penting di Old Trafford tidak lama dahulu.

https://twitter.com/NotoriousManc/status/1288079389389983744?s=20

Lahirnya idola baharu di Old Trafford

Dalam perlawanan akhir Piala FA pada 2016, rembatan padunya pada masa tambahan telah membantu United menewaskan Crystal Palace. Aksinya pada malam itu adalah bukti kecintaannya kepada kelab dengan menghadiahkan trofi kejuaraan.

Beberapa bulan kemudian, Lingard sekali lagi menjadi wira United dengan menjaringkan gol tunggal dalam perlawanan Perisai Komuniti menewaskan Leicester City menerusi gerakan solo dengan menggelecek melepasi seorang demi seorang pemain sebelum meledak gol yang akan diingati sepanjang hayatnya.

Dua tahun lepas pula, beliau merupakan pemain utama bersama skuad kebangsaaan England di kejohanan Piala Dunia 2018, Dengan menyarung jersi nombor 7 yang cukup ikonik, beliau berjaya membantu pasukannya mara hingga ke peringkat separuh akhir.

Dengan kebolehan untuk menjaringkan gol, kepantasan, kreativiti dan kemahiran teknikalnya yang menakjubkan, penyokong mula meramalkan masa depan yang cemerlang buat graduan akademi Manchester United itu.

Tenggelam dalam dunia kemasyhuran

Entah di mana silapnya, tahun 2019 merupakan titik permulaan kepada kejatuhan Lingard. Beliau ibarat seketul batu yang hancur bersepai selepas terjatuh dari bangunan tinggi. Tiada sebarang gol mahupun bantuan jaringan sepanjang tahun tersebut telah menimbulkan pelbagai persoalan.

Adakah ianya disebabkan beliau hilang tumpuan? Ke mana perginya tahap keyakinan dan segala kehebatan beliau selama ini?

Umur Lingard akan mencecah 28 tahun pada hujung tahun ini. Netizen sering menggelarnya ‘pemain muda’ sebagai satu bentuk ejekan di atas perangainya yang tidak matang di media sosial. 

Pada usia 27 tahun, beliau sepatutnya telah mencapai kemuncak prestasi dalam kariernya, malangnya apa yang berlaku adalah beliau terus bersikap kebudak-budakan dan dilihat lebih kerap bersama pemain-pemain muda United dan England.

Apabila pengikutnya di media sosial semakin bertambah dan terus bertambah, ramai yang melihat Lingard tidak lagi memberikan tumpuan sepenuhnya kepada latihan pasukan dalam meningkatkan permainan dan prestasinya di atas padang, tetapi sebaliknya lebih gemar menjadi ‘instafamous’ atau selebriti.

Video-video tarian dan gurau senda terlalu kerap yang dibuat di pusat latihan telah dimuat naik dalam akaun media sosialnya dan banyak pihak yang percaya beliau tidak sedar yang dirinya mula ‘hanyut’ dalam dunia kemasyhuran.

Pemain bola sepak juga manusia

Apa yang berlaku kepada Lingard pernah juga dialami oleh pemain-pemain bola sepak yang lain. Mungkin beliau sendiri perlu bermuhasabah dan menilai semula sebagai pemain profesional, apakah yang sepatutnya menjadi keutamaannya. Masih ada masa untuk kembali seperti mana dirinya pada 2018.

Hakikatnya pemain bola sepak adalah seorang manusia biasa, mereka bukan robot tidak berakal yang boleh diprogramkan semata-mata untuk sepanjang masa menjadi seorang yang menghiburkan di atas padang.

Lumrah dalam kehidupan, ada masanya kita di atas dan sampai masa kita berada di bawah. Mungkin tidak adil untuk mengatakan prestasi Lingard merudum hanya disebabkan beliau terlalu kerap berseronok di luar padang.

Hakikatnya sejak ketiadaan Sir Alex Ferguson, pasukan tersebut sudah pun bermasalah dari segenap sudut dan Lingard muncul sebagai salah seorang pemain yang menjadi ‘imej baharu’ Manchester United.

Kambing hitam

Apabila pasukan tidak menang, penyokong akan mula ‘mengorek’ apa sahaja isu untuk dijadikan sebab dan punca kepada kemerosotan prestasi pasukan. Termasuklah kehidupan peribadi di luar padang serta media sosial pemain untuk dijadikan sebagai ‘kambing hitam’. 

Malangnya Lingard adalah kambing hitam itu. Tambah pula beliau sendiri tidak sensitif dengan sentimen orang di sekelilingnya. Beliau tidak sedar gaya tangan ‘Jlingz’ ketika meraikan gol itu sebenarnya tidak begitu disukai oleh penyokong United sendiri kerana dilihat terlalu berlebih-lebih.

Sebelum ini Lingard mendedahkan pernah mengalami tekanan disebabkan masalah keluarganya di mana beliau terpaksa menjaga adik-adiknya yang masih bersekolah apabila ibunya ditimpa penyakit.

Bukan hanya pemain bola sepak, sesiapa sahaja yang berdepan dengan masalah kadang kala akan memberi kesan kepada mental dan mungkin juga fizikal sehingga menjejaskan prestasi kerjanya. Apatah lagi jika terus dihujani dengan kritikan dan kecaman di media sosial.

Kita perlu akui, Lingard bukanlah seorang pemain yang teruk, satu masa dahulu kreativitinya menjadi ancaman buat mana-mana pasukan. Jika beliau boleh kurangkan kontroversi dan tingkatkan prestasi, tak mustahil kita semua berpeluang untuk sekali lagi melihat aksi terbaik darinya.

Kredit Foto: Instagram & Getty Images

Baca juga artikel kami yang lain mengenai Jesse Lingard:

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN