JDT menerusi akaun rasmi mereka Johor Southern Tigers telah menembak pengkritik JDT dan juga Hazwan Bakri.
Menurut JST, mereka mendapat tahu ada beberapa pengendali media sosial telah menjadikan JDT sebagai sasaran dengan menuduh bahawa JDT sebagai punca kenapa Hazwan Bakri tidak mampu lagi meneruskan kerjaya di peringkat tertinggi.
Kritikan tidak berasas itu ibarat serampang dua mata.
JST dalam kenyataan mereka berkata: “Terdapat beberapa akaun media sosial yang mengeluarkan sindiran bahawa Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim adalah penyebab Ahmad Hazwan Bakri tidak mampu lagi meneruskan kerjayanya dalam peringkat tertinggi.”
“Ini adalah pandangan yang tidak adil terhadap JDT dan berniat buruk untuk mencemarkan imej kelab.”
JST kemudian tampil dengan statistik penglibatan Hazwan Bakri.
“Hazwan memiliki rekod 4,297 minit sepanjang tiga musim di JDT dengan kemunculan penampilan seperti berikut: 2017: 31 penampilan, 7 jaringan gol, 5 ‘assists’; 2018: 38 penampilan, 4 jaringan gol, 6 ‘assist’; 2019: 8 penampilan, 1 ‘assist’. Secara keseluruhan, Hazwan telah membuat penampilan dalam 78 perlawanan untuk JDT.”
Seterusnya, JST tampil dengan pembentangan data Hazwan Bakri dengan pencapain secara kolektif bersama JDT.
“Hazwan telah memenangi tujuh trofi – 3 kejuaraan Liga Super Malaysia, 1 Piala Malaysia, 2 Piala Sumbangsih dan 1 Challenge Cup – dan mendapat pendedahan berharga di pentas Asia kerana beliau telah bermain dalam 12 perlawanan Piala AFC dan 4 perlawanan peringkat kelayakan dan kumpulan Liga Juara-Juara AFC.”
JDT kemudianya menegaskan bahawa Hazwan Bakri tidak perlu bimbang dengan isu yang dihadapi pemain di kelab lain.
Sambil menegaskan bahawa Hazwan Bakri kini mungkin seorang jutawan. JDT adalah kelab yang sentiasa meletakkan kebajikan pemain sebagai keutamaan mereka.
“Akhir sekali, Hazwan mungkin juga seorang jutawan yang tidak perlu bimbang tentang gaji yang tidak dibayar seperti di beberapa kelab Malaysia lain kerana kebajikan pemain JDT diletakkan sebagai keutamaan.”