Dituduh pecah amanah, apa yang sebenarnya berlaku kepada pengurusan Sabah FC?
Hari ini peminat bola sepak tanah air dikejutkan dengan laporan sebuah portal yang mendedahkan salah laku di kalangan pengurusan tertinggi kelab dari Borneo itu yang menyeleweng dana pasukan.
Laporan dari Borneo Today pada hari ini mendedahkan beberapa perkara yang tidak sedap didengar – terutama untuk penyokong sedia skuad Badak itu.
Pendedahan pertama ialah mengenai kecenderungan pasukan itu untuk menukar pemain import sesuka hati.
Pertukaran tersebut dikatakan membuka ruang untuk pihak-pihak tertentu di dalam pengurusan melakukan tindakan pecah amanah.
Pertukaran pemain import dipercayai dijadikan kesempatan untuk meletakkan gaji yang tinggi bagi pertukaran pemain namun, sebahagian wang yang dibelanjakan untuk tujuan tersebut sebenarnya dipotong untuk kegunaan sendiri dengan kerjasama ejen.
Laporan tersebut turut mendedahkan tidak kurang tiga pegawai dari kalangan pengurusan Sabah FC terlibat dengan ‘kerja songlap’ tersebut. Ada pemain yang ditawarkan sehingga RM33,000 namun, sejumlah RM18,000 dipotong individu-individu tersebut untuk disalurkan ke poket sendiri.
Laporan yang sama turut mendedahkan bagaimana pembelian kelengkapan di stadium seperti pembelian paparan LED yang bernilai RM300,000 menjadi RM800,000 apabila dibeli oleh Sabah FC.
Tuntutan lain yang tidak munasabah seperti pembelian alat menyukat bacaan jantung yang berharga RM300 di pasaran dibeli dengan harga RM130,000 oleh kelab bola sepak itu.
Sebagai rekod, selain pemain import dari Korea Selatan, Park Tae-soo yang dikekalkan dari musim lalu, Sabah FC turut mengambil empat pemain asing baharu pada awal musim ini.
Sebelum itu, Sabah FC terpaksa menamatkan khidmat pemain import kacukan Thailand-Jerman, Dennis Buschening atas persetujuan bersama selepas pemain itu dikatakan tidak menampilkan prestasi yang diharapkan – selain disebabkan keadaan pandemik yang mengganggu kewangan pasukan.
Jendela perpindahan pertengahan musim pula menyaksikan Sabah FC menamatkan khidmat penyerang Liberia, Sam Johnson dan menggantikannya dengan Josip Ivancic, selain turut melepaskan.
“Our memories of yesterday will last a lifetime. We’ll take the best, forget the rest, and someday will find that these are the best of times”.
Thank you Sam Johnson for your service to Sabah FC. Good luck for your future endeavors.#friendsforever#badaksampaimati pic.twitter.com/M5QJQN6Pzs
— Sabah FC Official (@SabahFCofficial) May 8, 2021
Turut dilepaskan pada musim ini adalah pemain tengah dari Gabon, Levy Clement Madinda. Ini bermakna Sabah FC kini beraksi hanya dengan empat pemain import daripada lima yang dibenarkan untuk kelab-kelab Liga Super.
Empat pemain import yang masih bersama Sabah FC sehingga sekarang ialah Park Taesu, Risto Mitrevski, Saddil Ramdani dan Josip Ivancic. Skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee itu bagaimanapun terpaksa melupakan khidmat Saddil Ramdani selepas beliau mengalami kecederaan pangkal paha yang serius.
Sabah FC di bawah naungan syarikat Sabah Football Club Sdn. Bhd. masih dimiliki sepenuhnya oleh Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA).
Tidak dapat dipastikan sama ada tuduhan penyelewangan itu benar atau tidak, namun dakwaan sedemikian sudah tentu perlu disiasat secara menyeluruh agar Sabah FC tidak dicemari oleh anasir-anasir yang tidak diingini.