Nama yang sering tercicir saat ramai berbicara tentang kejayaan atau kemenangan Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam satu-satu perlawanan, namun itu tidak semestinya menandakan Leandro Velazquez tidak penting.
Selain Natxo Insa, Leandro juga adalah tonggak penting tetapi namanya kurang didendang oleh para penyokong mahupun pemerhati. Adakah beliau pemain yang hanya sekadar memenuhkan kouta import dalam kesebelasan utama? Sudah tentu tidak. Disebalik kehadiran nama-nama hebat ke dalam pasukan, Leandro kekal berfungsi.
Prestasi pasukan bergantung kepada jentera tengah
Jentera tengah JDT memiliki terlalu ramai pemain berkualiti. Tentunya pengendali sebelum ini, Benjamin Mora pening kepada memikirkan siapa yang beliau perlu turunkan dalam satu-satu perlawanan. Mereka memiliki Natxo Insa yang berkualiti tinggi, Hong Wan yang hadir dari English Premier League (EPL) dan lain-lain.
Mereka juga ada lagenda skuad negara, Safiq Rahim yang masih memiliki sentuhan emas selain Afiq Fazail, Nazmi Faiz, Syamer Kutty Abba, Danial Amier Norhisham dan terkini kembalinya Junior Eldstal ke pasukan.
Jentera tengah adalah enjin pasukan dan pasukan akan bermain dengan baik jika jentera tengah bermain baik. Mereka juga adalah nadi, jantung dan otak kepada pasukan dalam merencana gerakan dan mengawal tempo permainan pasukan. Mereka melakukannya dengan aktif terlibat dalam fasa bertahan dan menyerang.
Ini Komen Benjamin Mora Tentang Kemenangan, Safiq Rahim & 2 ‘Aset’ Baharu
Pemain-pemain yang berada dalam senarai JDT adalah yang terbaik di Malaysia saat ini. Jika tidak bermain sekalipun, jika diperlukan, pemain seperti Safiq Rahim atau Nazmi Faiz akan masuk mengubah permainan.
Tidak salah rasanya kita memetik kenyataan pengendali Terengganu, Nafuzi Zain, tentang jentera tengah.
“Bagi saya, bahagian tengah merupakan enjin kepada pasukan kerana kalau mereka dapat bermain dengan baik, yang lain juga akan dapat beri persembahan yang baik.”
“Ketiga-tiga pemain ini [Dechi Marcel, Makan Konate dan Habeeb Haroon] memang penting kerana mereka dapat mengawal corak permainan, menggerakkan pasukan dan membantu juga dari segi bertahan dan menyerang. Jadi mereka betul-betul jadi peranan untuk pasukan.”
Nafuzi Zain, sidang media Terengganu-PJ City, Liga Super 2021
Leandro punca JDT ubah polisi perpindahan pemain pada 2019
Pemergian abang kepada Saul Niguez, pemain Atletico Madrid, Aaron daripada JDT pada awal musim 2019 menyaksikan Harimau Selatan mendaftarkan bekas pemain pada musim 2015, Leandro ke dalam skuad.
Selepas membantu JDT meraih kejuaraan AFC Cup 2015, beliau meninggalkan mereka. Di pentas final, Leandro meledak gol penting dan kemenangan JDT untuk menang 1-0 ke atas FC Istiklol untuk JDT meraih kejuaraan AFC Cup buat kali pertama dalam sejarah pasukan dan juga yang pertama buat arena bola sepak negara.
Kemasukkannya mengejutkan ramai pihak kerana sebelum itu, Pengarah Teknikal JDT, Alistair Edwards sendiri pernah mengatakan mereka tidak akan mengambil semula pemain yang pernah berkhidmat untuk pasukan dan itu adalah polisi terbaru kelab yang dititahkan oleh DYAM Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim (TMJ) pada 2018.
Namun, ia dilihat perubahan yang memanfaatkan pasukan dengan Leandro menjadi nadi penting buat JDT.
Data yang menunjukkan Leandro adalah antara nadi penting JDT
Jika sebelum ini, semua mata tertumpu kepada Natxo Insa yang sering kali diangkat, namun data daripada pengumpul statistik Liga Malaysia (Liga M), Data Sukan, membuktikan Leandro juga tidak kurang hebatnya.
Kepentingan Natxo kepada JDT adalah sebagai pemati ancaman lawan di tengah, memaksa pasukan lawan untuk memilih zon lain untuk beroperasi. Seperti yang dipamerkannya di saingan AFC Champions League (ACL) 2020 – beliau adalah pelindung benteng dan menghadirkan keseimbangan dalam fasa permainan JDT.
Beliau memudahkan kerja-kerja Leandro yang akan beroperasi sebagai nadi serangan Harimau Selatan di tengah. Beraksi 722 minit musim ini, Leandro melakar 114 hantaran ke final third dan mencipta 12 peluang. Ketepatan hantarannya? Menurut data, ketepatan hantaran pemain kelahiran Argentina itu adalah 91 peratus.
Ia mengatasi dua lagi ‘top passer’ Liga Super setakat ini, Natxo Insa dan Dechi Marcel. Beliau juga yang terbanyak di kalangan mereka melakukan hantaran ke final third. Keberadaan Natxo Insa dan Leandro dalam senarai ‘top passer’ itu menandakan yang JDT memiliki jentera tengah yang kukuh dan terbaik di Liga Super.