Kekalahan penuh perit diterima skuad Malaysia ke atas Vietnam semalam telah menutup satu lagi jalan buat negara dalam mencari pingat emas acara bola sepak Sukan SEA.
Tewas 2-1 sekali gus mencatatkan kekalahan kedua dalam saingan kumpulan B, ianya menutup jalan buat skuad E. Elavarasan untuk membidik mana-mana pingat yang ditawarkan dari acara bola sepak.
Kini hanya tinggal satu lagi perlawanan untuk dihabiskan bertemu Singapura yang turut sudah tersingkir, terdetik dalam hati, perlu ke mereka turun beraksi?
Sudah tiada makna pertemuan dua musuh tradisi seberang tambak ini kerana apa yang diperjuang kini luput. Sebaliknya hanya menanti masa untuk pulang ke tanah air saja.
Disaat pemain-pemain muda negara hampa kerana gagal menghadiahkan sesuatu, musuh utama kita di rantau Asia Tenggara sedang berkira-kira untuk memperoleh hadiah paling lumayan.
Indonesia di kumpulan A, menjadi pasukan pertama layak ke separuh akhir selepas merakamkan tiga kemenangan daripada tiga pertemuan.
Selepas mudah menewaskan Filipina, Myanmar dan Timor Leste, Garuda perlu tumbangkan tuan rumah iaitu Kemboja untuk memastikan rekod 100% mereka tidak tercemar.
Mungkin ada yang boleh katakan, “ala mudah kumpulan mereka, bolehlah,” itu mungkin boleh dikatakan sebagai faktor nasib yang sebenarnya turut memainkan peranan dalam bola sepak.
Laluan mereka lebih mudah, dan cabaran sebenar mereka adalah di separuh akhir kelak.
Namun apabila tiba melibatkan perlawanan kalah mati, ianya ibarat loteri. Mungkin di atas kertas, segalanya sukar buat Indonesia apabila bertemu sama ada Thailand atau Vietnam, tetapi apa saja boleh terjadi.
Jika mereka berjaya menumbangkan lawan di separuh akhir, detik gelap bola sepak Malaysia boleh dikatakan semakin hampir.
Sudahlah pulang awal, tiba saja musuh tradisi hampir merangkul hadiah paling lumayan. Jika ianya terjadi, pastinya segerombolan warga ‘Konoha’ datang mendabik dada di atas kejayaan mereka.
Adakah ianya akan terjadi? Atau kelegaan akan tiba seperti mana Indonesia semakin hampir menjadi juara Piala AFF 2020 di Singapura tetapi gagal? Kita nantikan.