Quantcast

BERITA

Dion Johan Cools Tunjuk Minat Sarung Jersi Harimau Malaya?

Tidak boleh dinafikan kehadiran pemain naturalisasi sedikit sebanyak adalah penyumbang kepada kebangkitan skuad Harimau Malaya di pentas antarabangsa.

Corbing Ong, Matthew Davies, Mohamadou Sumareh, dan Brendan Gan adalah antara pemain naturalisasi sebagai – yang kini bersama pasukan kebangsaan kerana berdarah campuran Malaysia, atau kerana sudah layak dijadikan warganegara.

Tidak hairanlah jika lebih ramai pemain – terutama yang mempunyai pertalian darah dengan Malaysia – akan mula menunjukkan minat mewakili negara pada masa hadapan.

Prestasi terkini pasukan negara di peringkat kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, dan atmosfera di Stadium Nasional Bukit Jalil juga pasti membuatkan ia sebagai sesuatu yang mengujakan buat mana-mana pemain.

Sumber: Instagram Dion Cools

Terbaru, adakah pemain kacukan Belgium-Malaysia kelahiran Kuching, Dion Johan Cools juga menunjukkan minat untuk menyarung jersi pasukan negara?

Melalui perkongsian beliau di Instagram Story, Cools berkongsi gambarnya memperagakan jersi pasukan negara serba hitam bersama caption: “Sejauh manakah anda mahukan ini?”

Cools adalah pemain yang beraksi di posisi bek kanan, dan kini beraksi bersama Club Brugge KV di Liga Belgium.

Selain daripada mewakili kelab di pentas Eropah, Cools juga pernah beraksi untuk Belgium di setiap peringkat umur pertandingan antarabangsa.

Namun sehingga kini, pada usia 23 tahun, beliau belum lagi pernah mendapat panggilan daripada Roberto Martinez bersama skuad kebangsaan Belgium.

Sekiranya benar Cools berminat untuk menyarung jersi pasukan Harimau Malaya, ianya pasti menarik untuk melihat beliau bersaing tempat di posisi bek kanan bersama Matthew Davies dan Syahmi Safari.