Biarpun tersenarai, Dion Cools hanya akan menjadi watak tempelan buat seketika kerana pengendali skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe sedang dalam fasa untuk menilai gandingan lain untuk posisi bek tengah.
Dion Cools turut tersenarai dikalangan 24 pemain untuk dua aksi persahabatan antarabangsa Harimau Malaya berdepan Jordan dan Uzbekistan pada awal Oktober depan. Namun, beliau tidak akan terlibat dalam kejohanan Piala AFF Suzuki 2020 yang dijangka akan mula berlangsung pada awal Disember depan.
Ini disebabkan ketika Piala AFF berlangsung, liga di Eropah terus berjalan kerana ia tiada dalam kalender FIFA.
RASMI: Malaysia Diundi Bersama Indonesia & Vietnam Dalam Piala AFF 2020
Ketika dalam pusingan kelayakan Piala Dunia 2022 tempohari, dalam tiga aksi berdepan UAE, Vietnam dan Thailand, Cheng Hoe dilihat meletakkan gandingan Aidil Zafuan dan Dion Cools di posisi bek tengah.
Dominic Tan dan Junior Eldstal turut terlibat dengan mereka dimasukkan menggantikan Aidil Zafuan untuk dua aksi (UAE dan Thailand), sementara Irfan Zakaria diuji ketika aksi persahabatan berdepan Bahrain.
Itu merupakan senarai bek tengah yang beraksi sebelum ini. Dan untuk skuad kali ini, pengendali berusia 53 tahun itu telah membawa pemain berusia 21 tahun yang cemerlang bersama Selangor FC, Sharul Nazeem.
Beliau mengekalkan Irfan Zakaria dan Dominic Tan yang sedang beraksi di Thai League 1 bersama Police Tero.
Jordan dan Uzbekistan adalah lawan yang sukar dan tentu Sharul Nazeem tidak akan membarisi skuad utama, namun pendedahan awal mungkin di penghujung aksi akan memberikan pemain itu pengalaman.
Oleh itu, dijangkakan gandingan Aidil Zafuan, Irfan Zakaria atau Dominic Tan akan diuji sepenuhnya untuk dua aksi tersebut sambil Dion Cools akan terus dengan proses meraih kaps bersama skuad kebangsaan sebagai proses persediaan untuk pusingan kelayakan Piala Asia 2023 yang akan berlangsung pada Mac depan.
Setakat ini, Dion Cools dan Dominic Tan telah meraih tiga kaps sepanjang bersama Harimau Malaya.
Malaysia masih memiliki Junior Eldstal dan Shahrul Saad untuk dipanggil selepas ini sekiranya diperlukan.
Dalam pada itu, Sharul Nazeem berkata kepada Harian Metro, beliau tidak sabar untuk menuntut ilmu bersama Aidil Zafuan dan Dion Cools di kem skuad kebangsaan yang akan bermula pada 1 Oktober.
Ujarnya, “Saya tak sabar nak main dengan senior seperti Aidil [Zafuan] dan [Dion] Cools nanti kerana saya mahu ambil pengajaran dan belajar daripada mereka untuk menambah ilmu sebagai menaikkan karier saya.”
“Alhamdulillah rezeki saya dapat terpilih untuk berada dalam senarai skuad Harimau Malaya. Saya perlu ambil peluang ini dan menunjukkan permainan dan strategi ketika bermain nanti,” ungkapnya lagi gembira.
Untuk rekod, Shahrul Saad masih dalam proses pemulihan daripada kecederaan dan inilah peluang terbesar buat Sharul Nazeem untuk memikat Cheng Hoe untuk mungkin sekurang-kurangnya tersenarai ke Piala AFF.