Liga Perdana Inggeris telah membuka tirainya minggu lalu, sehubungan dengan itu, Fantasy Premier League (FPL) yang menjadi kegilaan sebahagian komuniti ini juga telah dirasakan kehangatannya.
Walaupun baru selesai satu perlawanan, terdapat pemain FPL yang berjaya mencatatkan jumlah kutipan mata yang tinggi.
Tidak kurang juga yang kecewa apabila pilihan mereka kurang memberikan hasil.
Fantasy Premier League ini sudah pasti akan menjelmakan dilema yang begitu memeningkan kepala para pemain.
Berikut adalah beberapa perkara yang seringkali menjadi dilema buat para pemain FPL:
1) Memilih ketua pasukan (kapten)
Ini merupakan perkara utama yang menjadi dilema buat para pengurus FPL. Pemilihan kapten yang tepat memberikan peluang yang lebih cerah buat para pemain untuk mencatatkan lebih banyak mata.
Pemilihan kapten yang mengena dengan peratusan kurang dipilih kebanyakan pengurus biasanya digelar ‘makan sorang’ oleh kaki FPL.
2) Menilai kesahihan tips yang dikongsikan di laman sosial terutamanya Facebook
Mengikut pemerhatian yang dilakukan oleh penulis, ahli komuniti Fantasy Premier League di Allstar Fantasy Football Group begitu aktif dalam memberikan tips yang berguna sebagai panduan buat para pengurus.
Namun harus berhati-hati dengan tips tersebut kerana terdapat juga usaha untuk mengelirukan orang lain atau lebih dikenali sebagai ‘basuhan’ dalam kalangan ahli komuniti tersebut.
Ada juga ‘basuhan’ yang dilakukan untuk mempengaruhi pengurus lain bagi melakukan kesilapan memilih pemain dan individu yang membuat ‘basuhan’ mengharapkan pasukannya sendiri meraih mata yang lebih banyak.
Tidak semua tips ‘basuhan’ ini mengelirukan, kadangkala ianya dilakukan bagi memberikan peluang buat para pengurus berfikir diluar kotak pemikiran yang kadangkala memberikan ganjaran lebih lumayan buat sesebuah pasukan.
Keadaan ini membuatkan para pengurus menghadapi dilema dalam menilai kesahihan dan kebenaran setiap tips yang begitu banyak dikongsikan terutamanya pada hari perlawanan.
3) Pemain pasukan anda akan bertemu sesama sendiri
Perkara ini juga memberikan masalah yang memeningkan kepala pengurus FPL. Sebagai contoh sekiranya anda mempunyai penyerang Tottenham Hotspur, Harry Kane dan ketika itu Spurs akan bertemu Manchester City, dimana anda turut mempunyai Kyle Walker di posisi pertahanan.
Keadaan ini memaksa anda membuat keputusan yang tepat sama ada mahu mengekalkan sahaja mereka berdua beraksi atau meletakkan salah seorang di bangku simpanan untuk mengelakkan dari kerugian mata buat pasukan anda.
Kebiasaannya ia akan mengambil masa yang lama untuk anda memilih keputusan terbaik untuk menyelesaikan dilema tersebut.
4) Memilih pemain terbaik bagi setiap posisi
Hal ini juga merunsingkan para pengurus Fantasy Premier League untuk meletakkan pemain terbaik mereka. Dilema ini akan timbul terutamanya ketika melibatkan pemain yang lebih mahal.
Sebagai contoh dilema dalam memilih Eden Hazard atau Kevin De Bruyne, Ederson Moraes mahupun David De Gea dan juga Marcos Alonso atau Benjamin Mendy.
5) Pemain menyinar selepas dikeluarkan daripada pasukan anda
Keadaan ini seringkali terjadi dan sudah pasti pengalaman ini dirasai kebanyakkan pengurus. Selepas ditukar kepada pemain yang lain, barulah pemain tersebut menyinar dan menghasilkan mata yang banyak.
Lebih menyakitkan hati apabila seseorang pemain tersebut berterusan memberikan sumbangan yang bermakna ketika beraksi.
Apabila terjadi keadaan tersebut, pasti akan terbit idea di minda seseorang pengurus untuk kembali mendapatkan pemain tersebut dengan harapan dapat terus menyinar pada perlawanan seterusnya.