Jumlah pemain import dan format pertandingan bagi saingan Liga Malaysia dijangka antara perubahan drastik yang akan dilakukan oleh Malaysian Football League (MFL) bermula musim hadapan.
Buat masa ini semua perubahan itu masih lagi di peringkat perbincangan. Namun implementasi segera bermula musim 2023 dijangka akan dilakukan oleh badan penganjur untuk saingan tertinggi bola sepak domestik di negara ini.
Perubahan format liga
Menurut akhbar berbahasa Inggeris New Strait Times, antara perubahan drastik yang bakal dilakukan MFL ialah untuk mengubah saingan Liga Premier kepada pertandingan Bawah-23 tahun yang akan digelar Liga Simpanan.
Ini bermakna jumlah saingan Liga Super Malaysia (MSL) akan menyaksikan penambahan pasukan bertanding di divisyen utama bola sepak negara untuk musim 2023.
#NSTsports Many in the football fraternity are talking about the revamp, which could be implemented from next year, and most are unhappy.#SuperLeague #MalaysianFootballLeague https://t.co/rmRkqc8Xb7
— New Straits Times (@NST_Online) July 13, 2022
Pada hari ini, 10 pasukan bertanding di Liga Premier dan 12 lagi di saingan Liga Super, menyaksikan 22 pasukan kesemuanya – termasuk 3 pasukan Feeder Club/Reserve team.
Syarat untuk bersaing di Liga Super turut akan diperketatkan, di mana setiap pasukan yang mengambil bahagian wajib memiliki 4 pasukan termasuk 1 skuad B-23 untuk Liga Simpanan, 1 skuad B-20 untuk Piala Presiden dan 1 skuad Piala Belia.
Untuk dua musim pertama saingan, tiada pasukan akan tersingkir dari divisyen utama liga sehingga divisyen kedua saingan diperkenalkan kemudian.
Penambahan pemain import
Selain daripada perubahan format liga, turut akan mengalami perubahan adalah jumlah tenaga import yang akan digunakan mulai musim hadapan.
Berdasarkan format terkini, setiap pasukan di Liga Super dibenarkan untuk memiliki 5 pemain import dengan kuota 3+1+1.
Kuota 3+1+1 yang diguna pakai sejak musim 2018 itu terdiri daripada 3 pemain asing dari mana-mana benua, 1 pemain asing untuk slot Asia, dan 1 lagi pemain dari mana-mana negara Asia Tenggara.
FAM bakal tambah kuota pemain import#KL2017https://t.co/wpMS0LsqQL pic.twitter.com/LasQSZyJhy
— Berita Harian (@bharianmy) August 9, 2017
Perubahan terbaru akan membenarkan pengambilan sehingga 6 pemain import oleh setiap pasukan, dengan format 5+1.
Perubahan terbaru ini adalah antara usaha MFL untuk menyelaraskan peraturan pengambilan import untuk seiring dengan peraturan terbaru oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).
AFC Umum Peraturan Baharu, Kuota Pemain Import Bertambah 5+1 Mulai Musim 2023-24https://t.co/QRcMCBVmOk
— VOCKET FC (@vocketfc) February 25, 2022
Pada Februari lalu, Jawatankuasa Eksekutif AFC telah meluluskan beberapa perubahan peraturan dalam pertandingan kelab dibawah kelolaan mereka iaitu AFC Champions League (Liga Juara-Juara AFC) dan AFC Cup (Piala AFC), termasuk jumlah pemain import yang dibenarkan untuk diambil oleh setiap pasukan yang mengambil bahagian.
Antara perubahan tersebut ialah jumlah kuota pemain import telah ditambah daripada 3+1 kepada 5+1 (liga pemain dari mana-mana warganegara dan seorang pemain dari negara Asia) berkuatkuasa mulai musim 2023/24.
Impak kepada bola sepak negara
Perubahan format liga dan jumlah pengambilan pemain import dijangka akan memberi kesan secara langsung kepada landskap bola sepak di negara ini.
Khabar angin turut mengatakan dua pasukan, masing-masing 1 pasukan dari Liga Premier dan 1 dari Liga Super akan menarik diri daripada saingan Liga Malaysia musim hadapan disebabkan kedudukan kewangan yang tidak kukuh untuk menerima perubahan tersebut. Bagaimana MFL mahu memastikan tidak ada banyak pasukan ‘gulung tikar’ selepas ini?
Jumlah tenaga import yang bakal digunakan turut menimbulkan perdebatan kerana ia dianggap hanya akan memanfaatkan kelab yang memiliki struktur kewangan kukuh.
Melaka United ‘Korbankan’ Kuota Pemain Import ASEAN – https://t.co/XZdbCk044m pic.twitter.com/EocFJrCwB9
— Semuanya BOLA (@mysemuanyabola) November 27, 2019
Daripada segi komersil ia dilihat mampu menjadikan saingan Liga Malaysia lebih kompetitif. Namun semua sedia maklum masalah pembayaran gaji adalah antara masalah utama yang sentiasa melanda saingan Liga Malaysia sejak lebih 20 tahun lalu.
Kedudukan kewangan kebanyakkan kelab di negara ini bermakna langkah tersebut dianggap akan mendatangkan lebih banyak kemudaratan kepada kelab berbanding kebaikan.
Langkah menambah pemain import juga dikatakan akan menyukarkan lagi pemain muda untuk mendapatkan minit perlawanan sepatutnya, sekaligus secara tidak langsung akan menjejaskan skuad kebangsaan.
Dilema bola sepak negara
Jika dilihat dan dinilai sepenuhnya, langkah ini hanya akan menambah dilema kepada bola sepak negara.
Ini kerana tatkala perubahan syarat oleh AFC bermakna rata-rata liga bola sepak di Asia turut akan mengambil langkah serupa, langkah untuk menidakkan perubahan serupa di saingan Liga Malaysia bermakna saingan bola sepak tempatan akan statik atau berada di belakang.
Dari RM 800 ribu ke RM 1.3 juta, itulah harga pasaran Ariff Aiman dalam pasaran TransferMarkt, perubahan drastis ini terjadi selepas beliau membawa JDT ke pusingan kalah mati AFC Champions League.
Kredit : BBS pic.twitter.com/BMvFpNxXlf
— Empayar Bola (@empayarbola) May 21, 2022
Selain memberikan impak kepada nilai komersil Liga Malaysia berbanding liga lain di rantau ini, pengambilan pemain import tambahan turut akan membolehkan pasukan bertanding memberi cabaran yang kompetitif. di pentas tertingggi Asia seperti AFC Champions League dan Piala AFC
Persoalannya, sekiranya perubahan di atas bermula pada musim hadapan, bagaimanakah MFL mahu mengawal kewangan kelab agar pasukan tidak berbelanja melebihi kemampuan? Bagaimanakah MFL mampu memastikan pengambilan lebih ramai pemain import tidak menjejaskan bakat tempatan untuk bersaing?
Pada masa yang sama MFL tidak boleh menghalang mana-mana kelab di Liga Malaysia yang berkemampuan untuk melangkah lebih jauh kerana sudah memiliki struktur kukuh.
Itu adalah antara perkara utama yang perlu diberikan perhatian dan memerlukan garis panduan jelas daripada badan penganjur itu.
Penutup
Tidak dinafikan bola sepak moden pada hari ini adalah termasuk memastikan ia memiliki nilai komersil untuk didagangkan.
Saingan yang tidak menarik dan kompetitif secara tidak langsung akan menyebabkan saingan liga itu sendiri tidak akan memiliki nilai komersil untuk menarik lebih banyak penglibatan pemegang taruh yang mampu memeriahkan lagi saingan bola sepak tempatan.
Tetapi pada masa yang sama, ekosistem bola sepak itu sendiri harus perlu dijaga – terutama untuk menjadikan Liga Malaysia sebagai gedung utama penghasilan pemain tempatan untuk skuad kebangsaan.
Ia adalah langkah berani sekiranya MFL melakukan perubahan tersebut seawal musim hadapan. Tetapi sejauh manakah kesediaan kelab-kelab bertanding untuk mengharungi segala perubahan tersebut?