Kelab Ligue 1 Perancis, Dijon Football Côte-d’Or (Dijon FCO), tidak melepaskan peluang untuk menyindir sinis Paris Saint-Germain (PSG) selepas pendahulu Ligue 1 itu tewas 3-1 kepada Real Madrid dalam perlawanan UEFA Champions League pada awal pagi tadi.
Anda mungkin tertanya-tanya apakah kaitan Dijon FCO yang tidak mempunyai sebarang sejarah bola sepak eropah di dalam perlawanan di antara PSG dan Real Madrid.
Sebelum itu, anda harus mengetahui fakta bahawa Dijon FCO hanya beraksi di Ligue 2 di antara tahun 2012 sehingga 2016. Musim 2017/18 adalah musim kedua kelab yang ditubuhkan pada 1998 itu di Ligue 1, setelah berjaya mengelak penyingkiran dengan menduduki tangga ke-16 Ligue 1 pada musim lalu.
Kisah di antara Dijon FCO dan PSG bermula pada Januari lalu dalam perlawanan Ligue 1. Kelab bola sepak yang baru berusia 20 tahun tersebut dibelasah 8-0 oleh PSG di Parc de Princes.
Menjelang pertemuan dengan PSG pada awal pagi tadi, Rabbiot telah merujuk kepada kemenangan 8-0 tersebut sebagai pencetus keyakinan untuk PSG menghadapi Los Blancos.
Rabbiot pernah dipetik sebagai berkata kepada beiN Sports:
“Ia adalah sesuatu yang hebat apabila memperolehi lapan gol ketika menentang Dijon. Namun bertemu Real Madrid, di situlah bola sepak yang sebenar akan dimainkan.”
Dijon FCO mungkin tersingung sebelum ini akan komen Rabiot, namun tidak pernah membalas kenyataan tersebut sebelum ini.
Namun selepas PSG tewas kepada skuad kendalian Zinedine Zidane, akaun twitter kelab yang menduduki tangga ke-12 Ligue 1 itu menarik perhatian ramai.
On a tout fait pour mettre le @PSG_inside en confiance avant le @realmadrid…. Et voilà comment ils nous remercient ! ??
Bon du coup on a quand même parlé du #DFCO en soirée @ChampionsLeague ! pic.twitter.com/UgG5Oz81Z2
— Dijon FCO (@DFCO_Officiel) February 14, 2018
“Kami telah melakukan segalanya demi memberi keyakinan kepada PSG untuk berhadapan dengan Real Madrid. Namun inikah cara mereka memblas kami?” Ujar Dijon FCO melalui satu muat naik di dalam Twitter.
Adrien Rabbiot terlebih dahulu meletakkan PSG di hadapan dengan jaringan pada minit ke-33 perlawanan.
Namun dua gol oleh Cristiano Ronaldo pada setiap babak perlawanan, dan penyudah oleh Marcelo menafikan impian PSG yang tiba dengan laungan keyakinan di Estadio Santiago Bernabeu pada awal pagi tadi.
Mungkin inilah akibatnya jika kita merendahkan kemampuan pasukan lain. Buat pasukan-pasukan di Liga Malaysia, bertandinglah dengan semangat kesukanan yang tinggi.
PSG yang kini mempunyai kelebihan 12 mata di tangga teratas Ligue 1 akan menanti kunjungan Real Madrid untuk perlawanan timbal balik UCL pada 6 Mac hadapan.