Pep Guardiola membuat pendedahan panas menjelang pertemuan derbi Manchester. Beliau memberitahu wartawan bahawa, ejen Paul Pogba, Minol Raiola ada menawarkan Pogba kepada beliau pada Januari lalu.
Pertemuan Manchester City dan Manchester United ini akan menentukan sama ada City akan meraikan kejuaraan di hadapan seteru sebandar mereka itu.
Guardiola mahu meraikan kejuaraan ini sebagaimana beliau melihat indahnya detik Sir Alex Ferguson dan pemain-pemain Man. United meraikan kejuaraan EPL ketika beliau masih muda.
Perang Guardiola vs Raiola
Pada bulan lalu Mino Raiola menggelar Guardiola sebagai si anjing dan si pengecut. Ini selepas Raiola kecewa dan masih berdendam dengan layanan Guardiola kepada Ibrahimovic, Maxwell dan beberapa pemain lain.
“Guardiola jurulatih yang hebat. Namun sebagai manusia, dia sememangya kosong. Dia pengecut dan seekor anjing. Jika Manchester City juara UCL musim ini, dia akan buktikan dia pengurus yang sangat hebat, dan saya bencikannya.”
Guardiola antara pengurus yang benci dengan ejen terlalu berpengaruh seperti Raiola. Menurut Guardiola, Mino Raiola cuba mengambil kesempatan di atas situasi Pogba dan Mourinho yang dilaporkan bergolak sebelum ini.
Sebelum itu, Raiola pernah mencadangkan Guardiola untuk mendapatkan Henrikh Mkhitaryan. Namun yang agak mengejutkan selepas Mkhitaryan memberitahu beliau mahu ke Arsenal, ejen tersebut mencadangkan Paul Pogba kepada beliau.
Mino Raiola pernah mendapat habuan lebih £20 juta daripada perpindahan mega Paul Pogba dari Juventus ke Manchester United. Bercakap kepada media Guardiola berkata:
“Ketika dia (Raiola) menyerang saya secara verbal dengan macam-macam gelaran, saya akan jawab beliau. Saya tak faham kenapa saya dijadikan sasaran.”
“Akhirnya ada juga orang membongkar rahsia saya yang saya adalah seorang yang jahat. Saya pengecut. Saya tak faham kenapa saya sebegitu jahat.”
“Saya tak pernah meminta pandangan dia tentang siapa saya. Saya tak tahu. Dia juga orang sama, 2 bulan lalu menawarkan Mkhitaryan dan Pogba untuk menyertai dan bermain dengan kami. Kenapa?”
“Kenapa dia tawarkan? Adakah dia berminat untuk melihat Mkhitaryan dan Pogba bermain dengan kami? Bukankah sepatutnya dia melindungi pemain-pemain beliau daripada orang jahat dan anjing seperti saya.”
“Menyamakan orang lain dengan anjing adalah biadap. Ianya tak bagus. Dia harus menghormati anjing juga.”
Guardiola kemudian memberikan pandangan beliau tentang Paul Pogba yang dijangka akan bermain menentang Manchester City hari ini.
“Pogba pemain yang luar biasa, dia pemain yang hebat.”
Wartawan bertanya adakah jawapan itu sarkastik, beliau menjawab:
“Tidak, saya tidak bergurau. Cuma kami tidak cukup duit untuk membeli Pogba kerana dia terlalu mahal. Saya terkejut sebab saya seekor anjing. Dia mahu pemain dia datang ke sini, jadi rasanya, ianya tidak boleh berlaku.”
“Saya bukan orang yang baik. Jadi biarlah pemain dia dijaga orang yang lebih baik. Tetapi dia sendiri juga pernah kata yang saya adalah pengurus yang hebat. Terima kasih.”
Tidak lama selepas komen Guardiola itu diterbitkan oleh akhbar, Paul Pogba menghantar tweet ini:
Say what? 👂🏾 pic.twitter.com/FGCGFqAe64
— Paul Pogba (@paulpogba) April 6, 2018
Raiola juga memberikan komen beliau tentang kenyataan Pep Guardiola itu.
“Saya tak pernah bercakap dengan Guardiola. Saya tak akan bercakap dengan dia tentang pemain, jika perlu saya hanya akan bercakap dengan Manchester City. Mereka kelab yang hebat dengan pengurus yang hebat.”