Mahkamah di Korea Selatan telah membuat keputusan untuk menghukum syarikat yang bertanggungjawab melakukan promosi pra-musim Juventus ke negara itu dengan membayar sejumlah pampasan.
Menurut laman News Straits Times, syarikat The Festa merupakan syarikat yang bertanggungjawab mempromosikan perlawanan pra-musim antara Juventus dan juga K-League All Stars pada pertengahan tahun lepas.
Mereka mempromosikan perlawanan ini dengan menampilkan wajah Cristiano Ronaldo di merata tempat dan ianya membuatkan tiket perlawanan itu habis dijual dalam masa yang cukup singkat.
Namun begitu, hasilnya cukup hampa apabila Ronaldo tidak membuat kemunculan langsung dalam perlawanan itu dan hanya duduk sahaja di bangku simpanan sepanjang aksi diadakan.
Hasilnya, dua peminat yang hadir ke perlawanan itu telah menyaman syarikat tersebut menerusi Mahkamah Daerah Incheon kerana menuduh The Festa melakukan pengiklanan palsu terhadap penyokong yang hadir.
Syarikat itu diarahkan untuk membayar sebanyak 371 ribu Won atau RM 1,284.48 kepada dua penyokong tersebut.
Sejak dari perisitiwa itu, wujudnya terma “berlakon seperti Ronaldo” di atas talian yang bermaksud mengkritik seseorang yang mengisi kepentingan sendiri tanpa melakukan apa yang telah dijanjikan.