Dickson Nwakaeme Terharu Permintaan Penyokong Pahang

Sehingga kini Pahang FA hanya telah mengesahkan pemain pertahanan dari Perancis, Herold Goulon sebagai pemain import untuk dikekalkan bagi menghadapi saingan Liga Malaysia 2020.

Manakala tiga lagi pemain, iaitu Safuwan Baharudin, Saddil Ramdani dan Lazarus Kaimbi telah dilepaskan.

Masa depan seorang lagi pemain import, Dickson Nwakaeme pula masih menjadi tanda tanya, sama ada akan kekal atau tidak bersama skuad Tok Gajah.

Untuk musim 2020, Pahang FA sudah pun mulai menjalani latihan pra musim.

Bagaimanapun sehingga kini, belum ada sebarang pengumuman daripada pasukan itu mengenai status pemain import yang akan bersama mendukung cabaran Tok Gajah pada musim hadapan.

Rayuan seorang penyokong Pahang baru-baru ini di laman Instagram Dickson Nwakaeme mencuri perhatian pemain itu. Nwakaeme nyata tersentuh dengan komen daripada penyokong tersebut.

“Tolong kembali ke Pahang FA… tolong habiskan tugas anda sekurang-kurangnya untuk satu musim lagi dan bawa trofi untuk Pahang FA,” ujar kenyataan dari individu dengan nama a.m.a.n.

“Kami tahu anda memerlukan kehidupan mewah, tetapi fikirkan dengan bijaksana ia adalah maruah anda.

“Musuh anda adalah musuh kami. Perlawanan terakhir lalu kita bukan menentang musuh sebenar. Kali ini anda akan mendapat banyak peluang menewaskan mereka [musuh].

“Tolonglah Dickson [Nwakaeme], kami tahu anda pemain terbaik di dalam pasukan Pahang FA. Anda adalah seorang legenda.

“Semua penyokong Pahang tahu dan mengingati nama anda. Selamat maju jaya bersama pasukan baharu.”

Komen oleh @_a.m.a.n__ itu seolah-olah memberikan gambaran Pahang amat memerlukan khidmat Nwakaeme. Namun beliau juga seperti pasrah sekiranya pemain itu akan menyertai pasukan lain.

Pahang

Komen daripada @_a.m.a.n__ itu mendapat perhatian daripada Nwakaeme.

“@_a.m.a.n__, ini [kenyataan] amat menyentuh hati. Saya akan kembali beraksi secara percuma kerana anda.

“Hogoh Pahang Hogoh,” balas Nwakaeme.

Ada beberapa perkara yang menarik perhatian kami mengenai kenyataan balas oleh Nwakaeme ini.

Komen tersebut memberi gambaran seolah-olah Pahang FA kini sedang mengalami masalah kewangan.

Mungkin sukar untuk melihat Nwakaeme untuk kembali menyertai Pahang tanpa sebarang bayaran untuk musim 2020.

Tapi siapa tahu, sekiranya Nwakaeme dan Pahang FA mampu mencapai kata sepakat, maka tidak mustahil pemain yang bergelar ‘orang besi’ di kalangan penyokong skuad Tok Gajah akan kembali mewarnai saingan Liga Malaysia pada musim akan datang.

 

 

 

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN