Dickson Nwakaeme: “Orang Besi” Tok Gajah Yang Akan Dikenang Zaman Berzaman

Bekas pemain import Pahang yang turut dikenali sebagai “orang besi” di kalangan peminat bola sepak di Malaysia, Dickson Nwakaeme mengumumkan persaraan daripada sukan bola sepak pada usia 35 tahun semalam.

Sejak bergelar pemain bola sepak, Nwakaeme telah mewakili 7 pasukan yang berbeza sejak 2008 bermula dengan pasukan Halmstad BK di Sweden.

Legenda Liga Malaysia

Tidak keterlaluan jika kita katakan Dickson Nwakaeme adalah antara pemain import yang berjaya meninggalkan kesan di kalangan peminat bola sepak tempatan.

Siapa tidak kenal dengan pemain yang digelar orang besi dalam bola sepak Malaysia sebelum ini iaitu Dickson Nwakaeme.

Nwakaeme menyertai kancah Liga Malaysia pada 2013 dengan pasukan Kelantan. Beliau terus menjadi antara penyerang yang digemari di Kota Bharu.

Nwakaeme membantu Kelantan menjuarai Piala FA pada musim 2013. Antara aksi terbaik Nwakaeme ketika membawa Kelantan ke final Piala FA 2013.

Jaringan Nwaneri pada masa kecederaan telah mengheret perlawanan ke masa tambahan 30 minit. Dan Nwakaeme menjaringkan gol kemenangan.

Nwakaeme dipinang Tok Gajah

Namun malangnya, KAFA dan Nwakaeme gagal memeterai perjanjian lanjutan selepas turut membantu Kelantan mara ke final Piala Malaysia pada akhir musim 2013.

Selepas itu, Nwakaeme berjaya mendapatkan kontrak dengan pasukan Pahang. Beliau menjadi antara pemain penting dalam membantu pasukan Pahang mengecapi semula kegemilangan dalam arena bola sepak Malaysia.

Beliau berjaya menjulang Piala Malaysia dan Piala FA bersama Pahang. Selepas itu karier Nwakaeme naik ke satu paras lagi dengan tawaran daripada kelab Ligue 1, Angers.

 

Namun beliau gagal memberikan aksi terbaik dan dilepaskan oleh Angers pada akhir musim lalu. Beliau membantu Angers menang dalam perlawanan untuk ke peringkat 32 pasukan akhir Coupe de France dengan gol kemenangan.

Angers mara ke final dalam Coupe de France pada musim tersebut namun tewas di tangan PSG.

Karier Nwakaeme bersama Angers juga pasti sesuatu yang mahu dilupakan pemain itu terutama gol sendiri dalam kekalahan 1-2 kepada Monaco dalam saingan Ligue 1.

Pahang ibarat kampung Nwakaeme

“Pahang boleh dikatakan seperti ‘kampung’ saya kerana peminat Tok Gajah begitu baik dan mahukan saya mewakili Pahang yang membuatkan diri ini begitu dekat.”

Itu kenyataan Nwakaeme saat kembali menyarung jersi Tok Gajah di saingan Liga Malaysia pada 2019.

Kepulangan kembali penyerang import dari Nigeria itu diterima baik oleh barisan kejurulatihan dan juga para penyokong Tok Gajah.

Gambar yang tular di media sosial mengesahkan ketibaan Dickson Nwakaeme di Malaysia.

Tanda pagar #cintakuluarbiasa turut menjadi tular di kalangan penyokong-penyokong tegar Pahang dan dikatakan digunakan khas untuk menyambut kepulangan ‘Orang Besi’ ini, selepas empat tahun berpisah.

“Saya berterima kasih kepada Pahang kerana menerima kembali selepas tiga musim meninggalkan skuad ini iaitu kali terakhir pada 2015,” ujarnya kepada akhbar tempatan, Berita Harian.

Kembalinya ke bumi Pahang kerap kali disebut-sebut oleh para penyokong sebelum itu dan ia menjadi realiti serta mencipta fenomena tersendiri dengan ratusan penyokong hadir ke padang latihan.

Dickson Nwakaeme Pahang 2020
FOTO: Pahang FA

Mereka hadir untuk melihat sendiri kelibat penyerang yang pernah membantu mereka menjulang Piala Sumbangsih, Piala FA dan juga Piala Malaysia sepanjang kariernya bersama Tok Gajah.

Nwakaeme jelas tidak menghampakan penyokong Tok Gajah apabila dua gol sumbangannya pada hari pertama musim 2019 membantu Pahang menewaskan Kuala Lumpur 3-1 di Cheras pada 1 Februari 2019. Pada perlawanan berikutnya, 1 gol dan 1 assist dari Nwakaeme memberikan kemenangan 3-0 kepada skuad kendalian Dollah Salleh itu.

Kepulangan Nwakaeme pada musim 2019 bersama Pahang bagaimanapun dihiasi dengan isu kecergasan. Beliau hanya tampil dalam 13 perlawanan Liga Super untuk skuad Tok Gajah, tetapi masih mampu menghasilkan 7 gol sepanjang musim.

Separuh akhir Piala Malaysia

Kepulangan kedua Nwakaeme bersama Pahang juga paling diingati ketika pemain itu membantu Pahang mara sehingga ke separuh akhir Piala Malaysia pada musim tersebut.

Terikat 3-3 di separuh akhir pertama di Stadium Darul Makmur, perlawanan timbal balik di Kuantan selepas itu berlangsung dengan penuh dramatik. Kedudukan perlawanan selepas 90 minit di Stadium Darul Makmur turut berkesudahan dengan jaringan 3-3 menyebabkan perlawanan terpaksa diheret ke masa tambahan.

Nwakaeme menjaringkan dua gol dalam perlawanan tersebut, termasuk satu gol di masa tambahan. Kedah turut berjaya menghasilkan dua gol untuk kedudukan terikat 5-5 selepas tamat perlawanan.

Keraian gol Nwakaeme pada ketika itu – yang menjangkakan Pahang sudah berjaya mara ke final – menjadi meme di media sosial, tanpa menyedari peraturan gol di tempat lawan turut diambil kira di pertandingan tersebut.

“Kita tidak kalah [menentang Kedah] tetapi tersingkir kerana agregat. Saya tidak gembira kerana kalah,” ujar beliau mengenang perlawanan itu.

Mengulas mengapa sebab beliau melempar jersi Fernando Rodriguez selepas perlawanan, beliau berkata itu adalah kerana beliau marah kerana Pahang tersingkir, dan tidak berniat menghina pasukan Kedah.

“Saya minta maaf kepada penyokong Kedah, pasukan Kedah kerana bertindak demikian. Saya tidak bermaksud apa-apa.”

Mengenai troll dan meme yang dilakukan oleh penyokong bola sepak di negara ini mengenai keraian gol beliau, Dickson berkata beliau terhibur dengan apa yang dilakukan.

“Ia sangat lucu. Selepas amat sedih, troll itu membuatkan saya tertawa. Saya melihat troll itu dan ketawa. Terima kasih,” tambah beliau.

Penutup

Rombakan besar-besaran skuad Pahang untuk musim 2020 menyaksikan nama Nwakaeme sekali lagi digugurkan.

Sejak meninggalkan Pahang, Nwakaeme tidak menyertai mana-mana pasukan sehinggalah pengumuman untuk bersara dari kancah profesional dilakukan semalam.

Dua gelaran Piala FA dan dua kejuaraan Piala Malaysia. Buat Dickson Nwakaeme a.k.a “orang besi” terima kasih kerana pernah mewarnai Liga Malaysia.

Kami warga kerja Semuanuya BOLA turut ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat maju jaya kepada beliau.

 

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN